Wanita Terima Tujuh Jahitan Lepas Dipukul Dan Disamun

Wanita Terima Tujuh Jahitan Lepas Dipukul Dan Disamun

0
SHARE
Kalsom Idris, Pemangku Ketua Polis IPD Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Seorang wanita menerima tujuh jahitan di kepala selepas dipukul dan disamun dalam kejadian di Jalan Gaya, di sini, pada Khamis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, ketika kejadian mangsa berusia 35 tahun itu dikatakan pulang dari kerja dan berjalan seorang diri di lorong belakang SHBC Bank Gaya sebelum disamun.

Wanita itu kemudian didatangi remaja lelaki dari arah belakang yang seterusnya menutup mulut, menjatuhkan dan memukul kepala mangsa. 

“Mangsa telah ditumbuk di muka dan di kepala sehingga mengalami kecederaan. Kemudian lelaki tersebut melarikan diri setelah mengambill dompet mangsa.

“Mangsa juga telah mengalami kerugian wang tunai sebanyak RM50.00 dan kehilangan dokumen peribadi,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dengan sengaja menyebabkan cedera dan melakukan rompakan yang membawa hukuman penjara selama tempoh sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Pada sidang media sama, Kalsom turut memaklumkan, satu tangkapan telah dijalankan pada hari sama kejadian jam lebih kurang 7.30 malam ke atas seorang penganggur lelaki berumur 18 tahun bertempat di Bataras Jalan Pantai, Kota Kinabalu.

Beliau berkata, lelaki tersebut disyaki terlibat dalam kes samun sebelum ini dan semasa tangkapan lelaki tersebut baru sahaja melakukan satu kes curi telefon bimbit ke atas seorang lagi mangsa wanita berumur 36 tahun di Jalan Pantai.

Dalam pada itu, Kalsom turut mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan tidak berjalan sendirian terutama di kawasan-kawasan berisiko tinggi berlaku samun.