Wanita Warga Emas Hilang di Kota Belud, Operasi Pencarian Diteruskan Hari Kedua

Wanita Warga Emas Hilang di Kota Belud, Operasi Pencarian Diteruskan Hari Kedua

0
SHARE

KOTA BELUD: Seorang wanita warga emas dilaporkan hilang selepas dipercayai meninggalkan rumahnya di Kampung Tambulion Laut, di sini, sejak petang Isnin lalu.

Mangsa, Minun Kasim, 83, kali terakhir dilihat di kawasan kampung berkenaan kira-kira jam 5.30 petang pada 15 Disember 2025, sebelum kehilangan disedari oleh ahli keluarga.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 7.30 pagi semalam dan segera menggerakkan pasukan ke lokasi sejauh lapan kilometer, sebelum tiba pada jam 7.50 pagi.

Komander Operasi, PBK I Thomas Bolu berkata, pasukan bomba bersama agensi keselamatan lain telah melancarkan operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) secara menyeluruh dengan kerjasama penduduk kampung.

“Operasi SAR hari kedua dimulakan pada jam 9.15 pagi dan kawasan pencarian dibahagikan kepada enam sektor melibatkan kawasan sekitar rumah mangsa, kebun, laluan sungai serta kawasan berhampiran jambatan gantung menghala ke empangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi SAR turut disertai Unit K9 bersama seekor anjing pengesan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA serta orang awam.

Antara kawasan yang ditumpukan ialah kawasan pokok ara, tebing sungai kiri dan kanan jambatan gantung, serta kawasan sekitar kediaman mangsa.

Seramai 10 anggota dari BBP Kota Belud terlibat dalam operasi berkenaan dengan bantuan sebuah lori bomba dan sebuah kenderaan utiliti, selain sokongan Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.

Setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan operasi pencarian akan diteruskan dengan maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa.