Warga Kementerian Pertanian Digesa Budayakan Prestasi Tinggi, Jadi Duta Inisiatif Kebun Dapur

Warga Kementerian Pertanian Digesa Budayakan Prestasi Tinggi, Jadi Duta Inisiatif Kebun Dapur

0
SHARE

KOTA KINABALU: Warga Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah digesa membudayakan prestasi kerja berimpak tinggi serta memainkan peranan sebagai duta Inisiatif Kebun Dapur bagi memperkukuh keselamatan makanan dan meringankan kos sara hidup rakyat.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, kejayaan Inisiatif Kebun Dapur bergantung kepada komitmen menyeluruh pegawai dan kakitangan kementerian, merangkumi aspek perancangan, pelaksanaan, pemantauan serta promosi berkesan di peringkat komuniti.

“Warga kementerian perlu menjadi barisan hadapan dan contoh teladan melalui penyertaan aktif, sokongan teknikal serta usaha mempromosikan inisiatif ini kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 di sini, baru-baru ini.

Beliau menegaskan, Inisiatif Kebun Dapur bukan sekadar projek pertanian kecil, sebaliknya satu gerakan strategik untuk memperkasa isi rumah, mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar serta meningkatkan kesedaran terhadap pertanian asas.

Jamawi turut menekankan bahawa kecemerlangan perkhidmatan kementerian bergantung kepada kecekapan, integriti dan dedikasi penjawat awam, dengan prestasi tinggi perlu diterjemahkan melalui sistem penyampaian yang berkesan dan penyelesaian isu rakyat secara tuntas.

“Kecemerlangan bukan hanya diukur melalui KPI, tetapi juga sikap profesional, akauntabiliti, integriti serta keupayaan memberi impak sebenar kepada masyarakat,” katanya, sambil menegaskan toleransi sifar terhadap ketirisan, kecuaian dan penyalahgunaan kuasa.

Beliau berkata kementerian akan terus memperkukuh pembangunan modal insan melalui latihan kompetensi, pemantapan kepimpinan dan pembudayaan inovasi bagi menyokong agenda transformasi perkhidmatan awam.

Jamawi turut merakamkan tahniah kepada semua penerima APC 2025, sambil mengingatkan bahawa pengiktirafan tersebut bukan noktah pencapaian, sebaliknya pemangkin untuk terus berkhidmat dengan penuh amanah dan tanggungjawab kepada rakyat.