Warganegara Indonesia Ditahan, Gula Merah Dan Pulut Hitam Dirampas

Warganegara Indonesia Ditahan, Gula Merah Dan Pulut Hitam Dirampas

0
SHARE
Antara PATI yang ditangkap...

TAWAU, SABAH – Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) berjaya mematahkan cubaan seorang warganegara Indonesia untuk menyusup masuk ke negara ini melalui jalan air di Kampung Batu 3 sini.

Kejayaan pada Rabu itu adalah hasil pengesanan awal sebuah bot laju mencurigakan yang telah dikesan oleh Radar Coastal Surveillance Station (CSS) pada jam 11.23 malam.

Tim Quick Reaction Force (QRF) yang sedang melaksanakan rondaan Op BENTENG BERSAMA pada kawasan berkenaan dikerahkan ke lokasi.

“Hasil tinjauan mendapati bot laju yang digunakan bagi tujuan pemerdagangan pendatang asing tanpa izin (PATI) tersebut telah beredar setelah selesai mendaratkan PATI dan memunggah barang-barang milik PATI ke dalam sebuah lori muatan bewarna putih.

“Tim QRF seterusnya membuat pintasan dan penahanan terhadap lori tersebut ketika lori berkenaan bergerak keluar dari lokasi kejadian berdekatan Stesen minyak Petron di simpang masuk Kampung Batu 3 di Jalan Apas,” kata Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad dalam kenyataan.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan awal mendapati ketiga-tiga individu tersebut terdiri daripada tiga (3) lelaki dewasa yang mana dua daripada mereka dipercayai agen daratan.

“Agen terbabit merupakan warga tempatan berusia 20 tahun dan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah…

“Manakala seorang lagi lelaki dewasa merupakan PATI warganegara Indonesia berusia 44 tahun yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“PATI tersebut ditemui bersama barang persendirian yang dibawa dari Pulau Sebatik dipercayai bagi tujuan berniaga.

“Hasil pemeriksaan terperinci mendapati lori tersebut telah membawa sebanyak 13 kotak gula merah, lima guni beras pulut hitam dan satu guni pakaian milik PATI tersebut,” kata Karim.

Tim QRF mengiringi lori tersebut bersama kesemua suspek ke IPD Tawau untuk membuat laporan polis untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.