Warisan Kelirukan Rakyat Dengan Tafsiran Salah Data Bukan Warganegara

Warisan Kelirukan Rakyat Dengan Tafsiran Salah Data Bukan Warganegara

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pemuda Gagasan Rakyat menegaskan bahawa kenyataan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan yang mengaitkan peningkatan jumlah bukan warganegara di Sabah dengan isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) adalah mengelirukan dan tidak berlandaskan tafsiran data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim berkata, istilah “bukan warganegara” sering disalahgunakan untuk mencetuskan persepsi negatif, sedangkan ia merangkumi pelbagai kategori penduduk asing yang berada di Sabah secara sah.

“Untuk rekod, bukan warganegara tidak bermaksud ‘illegal’. Ia termasuk Pendatang Asing Dengan Izin (PADI) seperti pekerja asing berpermit sah, pemegang pas kerja sementara, pelajar serta tanggungan mereka. PATI hanyalah sebahagian kecil, namun ia digambarkan seolah-olah majoriti oleh pemimpin Warisan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Azrul, peningkatan angka bukan warganegara turut dipengaruhi beberapa faktor struktur termasuk pemulihan ekonomi pasca pandemik COVID-19, migrasi tenaga kerja ke bandar utama seperti Kota Kinabalu, serta pelaksanaan Pendataan Digital Warga Asing di Sabah sejak dua tahun lalu.

“Pendataan digital ini tidak mewujudkan kemasukan baharu. Ia hanya mendedahkan jumlah sebenar pekerja sedia ada yang sebelum ini tidak direkod secara telus. Ini fakta asas, bukan teori politik,” katanya.

Beliau turut menyifatkan cubaan Warisan memutarbelit data sebagai usaha menutup rekod lama pentadbiran mereka sendiri dalam menangani isu PATI ketika memegang tampuk kuasa.

“Rakyat Sabah tidak memerlukan tajuk sensasi atau permainan emosi. Apa yang diperlukan ialah penjelasan berfakta dan penyelesaian sebenar terhadap isu keselamatan dan kedaulatan negeri,” tegasnya.

Azrul menambah, Pemuda Gagasan Rakyat kekal konsisten bahawa isu berkaitan warga asing mesti ditangani melalui penggunaan data yang tepat, penguatkuasaan yang berkesan serta dasar yang bertanggungjawab, bukannya manipulasi persepsi demi kepentingan politik sempit.