KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Mohamad Azmi Amir Husin menzahirkan rasa kecewa dengan sikap Parti Warisan yang sanggup berbohong berhubung pemberian geran tanah demi ‘memancing undi’ dan sokongan rakyat di Sabah.
Menurutnya, Parti Warisan perlu hentikan PEMBOHONGAN tersebut kepada rakyat Sabah kerana pengukuran tanah ini memakan masa dan bukannya sekelip mata saja.
“Bilakah kerajaan Warisan mengarahkan untuk buat pengukuran tanah? Kerana kita tahu, untuk mengukur geran sebanyak itu perlu mengambil masa bertahun-tahun lamanya.
“Dana mana yang kerajaan Warisan gunakan? Kerana kita tidak pernah mendengar kerajaan Warisan meluluskan mana-mana dana untuk pengukuran geran-geran tersebut. Kita pernah dengar dana diluluskan melalui program PANTAS tapi itu adalah dana sewaktu kerajaan BN memerintah,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal ini.
Justeru, kata Azmi lagi, sebenarnya yang melaksanakan usaha tersebut adalah kerajaan BN tetapi pimpinan Warisan hanya tahu menuai hasil yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu.
“Adakah ini satu lagi cerita,’ lembu punya susu, sapi yang dapat nama’?” soalnya.
Terdahulu, Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah menyerahkan geran tanah di beberapa tempat di seluruh negeri sedangkan sewajarnya beliau tidak boleh berbuat demikian kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dibubarkan dan Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ke-16 bakal diadakan September ini.