TENOM: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) melalui Skuad Ihsan MADANI Negeri Sabah menyalurkan sumbangan keseluruhan RM110,850 bagi membantu pelajar, sekolah serta institusi ibadah yang terjejas akibat banjir di daerah ini.
Daripada jumlah itu, RM17,700 disalurkan kepada 177 pelajar terjejas banjir, dengan setiap pelajar menerima RM100 bagi meringankan beban persekolahan keluarga.
YAPEIM turut menyumbang RM15,000 kepada tiga buah sekolah bagi kerja baik pulih infrastruktur, selain menampung kos penganjuran program berjumlah RM12,750.
Sementara itu, Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan menyumbang bakul makanan bernilai RM20,400 kepada 204 penerima serta bantuan RM45,000 kepada sembilan surau dan masjid.
Sumbangan disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli di SJKC Tsi Sin, di sini, pada Khamis.
Beliau berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan YAPEIM dalam membantu golongan terkesan dan memastikan kebajikan komuniti terus diberi perhatian.






