
PUTATAN, SABAH – Seramai 100 orang hadir mengimarahkan majlis tahlil sempena genapnya 29 tahun pemergian Yang di-Pertua Negeri Sabah pertama, Almarhum Tun Datu Mustapha Datu Harun pada 2 Januari 1995 yang lalu.
Majlis yang diadakan di Taman Memorial Tun Datu Mustapha di sini pada petang Selasa turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif.
Imam Besar Masjid Negeri, Suhaidi Kuanting memulakan majlis dengan memimpin bacaan tahlil dan disusuli bacaan doa oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Malai Ali Malai Ahmad.
Usai majlis, para hadirin mengambil kesempatan menyiram air mawar di pusara Tun Datu Mustapha dan isteri Almarhumah Toh Puan Rahmah Zulkanian sebagai tanda penghormatan.
Majlis tahunan anjuran MUIS tersebut diadakan bagi memperingati dan menghargai jasa serta pengorbanan Tun Mustapha sebagai tokoh kemerdekaan dan tokoh dakwah Islam di negeri ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Ramlan Awang Ali, Pegawai Daerah Putatan Masawi Salleh, Pengarah JAKIM Sabah, Datuk Norjeli Dais, Pengarah Lembaga Tabung Haji Wilayah Sabah dan Sarawak, Datuk Nurlaila Said, Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS), Datuk Dr Omar Raisul As-Salam Syah Sulaiman Omar dan Ketua Eksekutif Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) Samin Ongki. — JABATAN PENERANGAN SABAH





