KOTA KINABALU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) telah menahan 18 orang pendatang tanpa izin (PATI) di sekitar kawasan Jeti Awam dan Kampung Kurnia Jaya Batu 4 Apas, Tawau, semalam.
Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor Sanjos berkata, seramai 187 individu telah diperiksa dalam Operasi Bersepadu Siri 2/2024.
“Suspek ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut.
“Selain itu, sebanyak 103 buah kenderaan turut diperiksa oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi dan sebanyak 41 keping saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Victor berkata objektif utama operasi bersepadu itu adalah demi menjamin keselamatan dan memelihara ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) selain bertujuan membanteras penyeludupan barang kawalan, bersubsidi, tidak bercukai serta mengekang penyusupan PATI.
“ESSCOM komited dalam mencapai misi utama tiada lagi pencerobohan kali kedua dan mengekalkan sifar penculikan atau kidnap for ransom (KFR).
“Pemantauan pihak berkuasa mendapati PATI berpotensi dijadikan sebagai tali barut kepada elemen jenayah rentas sempadan di ESS Zone,” jelasnya.