2 Lelaki Maut, Myvi Terbabas Sendiri dan Terjunam ke Dalam Laut

2 Lelaki Maut, Myvi Terbabas Sendiri dan Terjunam ke Dalam Laut

0
SHARE
Foto: Ihsan JBPM Sabah

LAHAD DATU: Dua lelaki maut selepas Myvi yang dinaiki mereka terbabas sendiri sebelum terjunam masuk ke dalam laut di Batu 7, Kampung Payang, Lahad Datu, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 10.50 malam, semalam.

Katanya, menurut pemanggil terdapat dua orang mangsa terlibat dan belum dijumpai.

“Pasukan Bomba menjalankan operasi penyelamatan dengan bantuan bot dan penyelam.

“Selaman pertama telah berjaya menarik seorang mangsa keluar dari kereta dan dibawa naik pada jam 12.06 tengah malam.

“Tindakan seterusnya mengikat tali pada kereta tersebut untuk ditarik menggunakan sistem takal ke kawasan yang lebih cetek untuk mencari mangsa yang kedua,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah Sumsoa, selaman kedua dilakukan oleh pasukan bomba yang kemudian berjaya menjumpai mangsa kedua pada jam 1.31 pagi.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan di tempat kejadian dan kemudian mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Mangsa pertama ialah, Edwin, 25 tahun dan mangsa kedua pula ialah, Chan Wai Hou, 66 tahun.