200 Liter Diesel Tidak Cukup Bagi Majoriti Rakyat Sabah Khusus Pedalaman dan...

200 Liter Diesel Tidak Cukup Bagi Majoriti Rakyat Sabah Khusus Pedalaman dan Luar Bandar – Phoong

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kouta subsidi diesel sebanyak 200 liter sebulan yang dicadangkan di bawah mekanisme subsidi diesel bersasar tidak mencukupi bagi majoriti rakyat Sabah, khususnya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman dan luar bandar, kata Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe.

Beliau berkata, pelaksanaan mekanisme subsidi diesel baharu secara seragam di seluruh negara gagal mengambil kira realiti geografi Sabah yang memerlukan rakyat melakukan perjalanan jarak jauh setiap hari untuk bekerja, mendapatkan pendidikan, rawatan kesihatan dan mengurus keperluan harian.

Menurutnya, walaupun kerajaan Persekutuan mempunyai alasan tersendiri untuk memperkenalkan subsidi diesel bersasar bagi mengekang ketirisan dan penyeludupan, pendekatan satu formula untuk semua negeri tidak sesuai dilaksanakan di Sabah.

“Di Kuala Lumpur, Selangor atau Pulau Pinang, 200 liter diesel sebulan mungkin mencukupi untuk kegunaan sesebuah isi rumah. Namun di Sabah, khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar, banyak keluarga menggunakan diesel jauh melebihi jumlah tersebut setiap bulan.

“Bagi penduduk di kawasan seperti Keningau, Tenom dan Kota Marudu, perjalanan ke Kota Kinabalu untuk urusan harian adalah perkara biasa. Justeru, kuota 200 liter jelas tidak mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Phoong berkata, Sabah yang masih berdepan cabaran pembangunan berbanding banyak negeri lain sepatutnya diberikan pertimbangan khas dalam pelaksanaan dasar subsidi diesel.

Beliau menegaskan diesel merupakan keperluan asas bagi sebahagian besar rakyat Sabah dan kerajaan Persekutuan tidak seharusnya mengurangkan manfaat subsidi sedia ada atas alasan membanteras penyalahgunaan subsidi.

Menurutnya lagi, sebagai negeri pengeluar minyak dan gas, Sabah sewajarnya menikmati manfaat yang lebih besar daripada sumber asli tersebut selaras dengan semangat Persekutuan Malaysia.

Dalam pada itu, Phoong turut mempersoalkan beberapa aspek pelaksanaan mekanisme baharu berkenaan, termasuk isu pemilikan kenderaan yang dikhuatiri boleh menjejaskan kelayakan rakyat mendapatkan subsidi.

Katanya, ramai rakyat Sabah menggunakan kenderaan yang didaftarkan atas nama ahli keluarga lain, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada pengguna sebenar masih layak menikmati subsidi diesel.

Beliau turut bimbang golongan yang bergantung kepada diesel tetapi tidak memiliki kenderaan diesel seperti petani, pengguna generator diesel dan penduduk luar bandar akan terlepas daripada menikmati manfaat subsidi jika kelayakan hanya ditentukan berdasarkan pemilikan kenderaan.

Selain itu, beliau memberi amaran bahawa sektor perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pengusaha pengangkutan, sektor pertanian dan logistik, berisiko menanggung kos operasi lebih tinggi sekiranya akses kepada diesel bersubsidi menjadi lebih terhad.

“Sebarang peningkatan kos diesel akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna dan berpotensi mencetuskan tekanan inflasi baharu di Sabah,” katanya.

Phoong turut menggesa kerajaan Persekutuan memberikan tempoh peralihan antara tiga hingga enam bulan sebelum pelaksanaan penuh mekanisme tersebut bagi membolehkan rakyat dan komuniti perniagaan membuat persediaan sewajarnya.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula kuota subsidi diesel 200 liter sebulan dan mempertimbangkan kuota tambahan khusus untuk Sabah dan Sarawak, terutama bagi penduduk luar bandar, pengguna jarak jauh, pengusaha pertanian serta mereka yang tinggal di kawasan terpencil.

“Jika Kerajaan Persekutuan terus menggunakan piawaian Semenanjung Malaysia di Sabah tanpa sebarang penyesuaian, akhirnya rakyat Sabah yang akan menanggung akibatnya,” katanya.