KOTA BELUD: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun serta merampas sejumlah besar air ketum dalam satu operasi hasil maklumat orang awam.
Polis IPD Kota Belud dalam satu kenyataan memaklumkan, tangkapan dilakukan di sebuah rumah di Kampung Keguraan, di sini, susulan maklumat yang disalurkan menerusi Hotline NCID berkaitan aktiviti pengedaran bahan terlarang.
“Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian menemui 38 botol air rebusan daun ketum dengan anggaran isipadu keseluruhan 57 liter, bernilai kira-kira RM950, selain beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses air ketum.
“Suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke BSJND IPD Kota Belud bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” jelas kenyataan itu di sini, semalam.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras penyalahgunaan serta pengedaran bahan terlarang dan menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat demi menjamin keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.






