42 Cilik Rasai Pengalaman Memanah Tradisional Dalam Summer Camp 2022 UMS

42 Cilik Rasai Pengalaman Memanah Tradisional Dalam Summer Camp 2022 UMS

0
SHARE
Peserta cilik 'Summer Camp 2022' merasai pengalaman memanah dibawah pemantauan jurulatih bertempat di Arena Memanah Tradisional Universiti Malaysia Sabah (UMS)...(Foto ihsan Kelab Kesatria Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 42 cilik dalam lingkungan umur sembilan sehingga 12 tahun telah berpeluang merasai pengalaman memanah tradisional buat kali pertama di Arena Memanah Tradisional Universiti Malaysia Sabah (UMS) sempena program ‘Summer Camp 2022’.

Program terbabit merupakan anjuran Pusat Kecemerlangan Sains Sukan UMS menerusi Fakulti Pendidikan dan Psikologi yang diadakan pada 30 September sehingga 2 Oktober lepas.

Program memanah tradisional yang dikendalikan oleh Rawja Archery bersama 10 jurulatih dari Kelab Memanah Kesatria Kota Kinabalu (KESATRIA) ini telah dimulakan dengan sesi taklimat keselamatan dan adab dalam memanah serta pengenalan memanah tradisional oleh presidennya, Md Suhaimi Sapiee.

Ini diikuti dengan demonstrasi memanah tradisional oleh 10 Jurulatih yang memperlihatkan tujuh langkah asas dalam memanah, kemudian disiplin memanah duduk dan seterusnya disiplin memanah ke belakang.

Peserta cilik ‘Summer Camp 2022’ merasai pengalaman memanah dibawah pemantauan jurulatih bertempat di Arena Memanah Tradisional Universiti Malaysia Sabah (UMS)…(Foto ihsan Kelab Kesatria Kota Kinabalu)

Selepas demonstrasi, peserta diajar secara praktikal satu persatu sebelum diteruskan dengan pertandingan memanah tradisional “Ghost Hunting” pada jarak 10 meter.

Salah seorang peserta Summer Camp 2022, Muhammad Md Suhaimi…(Foto ihsan Kelab Kesatria Kota Kinabalu)

Salah seorang peserta, Muhammad Md Suhaimi, 11, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lok Yuk Likas berkata beliau rasa teruja untuk memanah selepas merasai sendiri pengalaman memanah itu.

“Saya begitu teruja hendak memanah selepas melihat demonstrasi memanah yang ditunjukkan jurulatih dan saya sangat suka memanah,” katanya.

Sementara itu, ahli jawatan kuasa (AJK) aktiviti Summer Camp 2022, Muhammad Ridauddin Safwan Safri berkata aktiviti memanah adalah merupakan intipati utama kem ini.

“Kesemua peserta harus diberi peluang untuk mengenali sukan memanah tradisional ini yang dilihat mampu memberi daya fokus yang baik kepada setiap peserta…

Ahli jawatan kuasa (AJK) aktiviti Summer Camp 2022, Muhammad Ridauddin Safwan Safri..(Foto ihsan Kelab Kesatria Kota Kinabalu)

“Tambahan lagi, memanah ini adalah sukan sunnah yang semakin popular dan diminati oleh semua golongan masyarakat di Malaysia.

“Saya amat bersyukur kerana aktiviti ini berjalan lancar bersama barisan jurulatih KESATRIA yang sangat komited lagi berpengalaman dalam mengendalikan program memanah ini. Terima kasih buat semua jurulatih terlibat,” katanya.