KETUA MENTERI SABAH UCAP TAKZIAH BUAT KELUARGA ALMARHUM TUN SAKARAN

KETUA MENTERI SABAH UCAP TAKZIAH BUAT KELUARGA ALMARHUM TUN SAKARAN

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor merakamkan ucapan takziah kepada seisi keluarga Almarhum Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran Dandai yang telah menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 6.30 pagi tadi di Hospital Gleaneagles.

“Bagi pihak keluarga saya dan kerajaan negeri, saya merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun, bekas Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah terutama kepada isteri beliau, Toh Puan Datin Seri Panglima Hajah Siti Rukaiyah Abdullah atas pemergian suami beliau. Jasa Tun kepada Sabah amat besar. Moga roh dicucuri rahmat…

“Tun Sakaran adalah seorang tokoh yang sangat berjasa khususnya bagi Negeri Sabah. Jasa dan sumbangan Allahyarham Tun Sakaran sama ada dalam politik, pentadbiran dan agama amat besar nilai dan maknanya untuk negeri dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hajiji turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Tun Sakaran adalah pemimpin politik yang berpengaruh di negeri ini. Semoga seluruh keluarga besarnya sabar menghadapi dugaan ini…

“Mari bersama kita mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan bersama-sama hamba yang dikasihi Allah SWT,” katanya lagi.

Tambah Hajiji dalam sebuah catatan pada Facebook milik beliau berkata: “Hari ini kita kehilangan seorang negarawan yang sangat berjasa, khususnya kepada Negeri Sabah…jasa dan pengorbanan Almarhum Tun amat signifikan dan besar maknanya buat tanah air tercinta.

“Legasi perjuangan negarawan ini akan tetap terpahat kukuh dan dikenang selamanya,” katanya pada hantaran tersebut..

Bagi pihak Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Sabah, Hajiji mengajak rakyat Sabah untuk bersama mendoakan semoga roh Almarhum ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh dan mendapat darjat sebaik-baiknya di sisi Allah SWT.

Tun Sakaran yang berusia 91 tahun semasa meninggal dunia hari ini pernah berkhidmat sebagai Ketua Menteri Sabah pada tahun 1994 dan merupakan mantan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Malaysia.

Tun Sakaran yang berasal dari Semporna juga telah berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-8 bermula 1 Jan 1995 hingga 31 Dis 2002.

Selain itu, Tun Sakaran pernah memegang jawatan bekas Ketua Menteri Sabah dan bekas Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA).

Beliau juga adalah Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang pertama dan pernah dinobat sebagai Tokoh Maal Hijrah 1439H Peringkat Kebangsaan.

Terdahulu, Almarhum Tun Sakaran dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Gleneagles di Kota Kinabalu kerana jangkitan COVID-19.