KOTA KINABALU: Seramai 52 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima Lencana Kepakaran Kapal Selam dalam satu majlis yang diadakan di Auditorium Markas Angkatan Kapal Selam, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada Rabu.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain, melibatkan 10 pegawai dan 42 anggota lain-lain pangkat.
Kesemua penerima telah berjaya menamatkan latihan intensif yang menguji kekuatan fizikal dan mental, termasuk penguasaan teknologi kapal selam dalam persekitaran operasi yang mencabar.
Zulhelmy berkata, penganugerahan lencana itu bukan sekadar pengiktirafan, tetapi turut membawa amanah besar dalam mengendalikan aset strategik negara.
“Setiap submariner perlu sentiasa mempamerkan tahap profesionalisme, kompetensi dan jati diri yang tinggi kerana mereka bertanggungjawab mengoperasikan aset strategik negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan TLDM bukan sahaja bergantung kepada aset, tetapi juga tahap kesiapsiagaan dan keupayaan setiap anggota.
“Setiap anggota perlu terus meningkatkan ilmu, kemahiran dan integriti bagi memastikan keupayaan operasi kapal selam sentiasa berada pada tahap tertinggi,” katanya.






