KOTA KINABALU, SABAH – Usia hanyalah angka bagi bekas pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim apabila berjaya menawan puncak tertinggi di Asia Tenggara, Gunung Kinabalu Selasa lalu pada usia 84 tahun.
Tokoh korporat itu memulakan pendakian pada 8.45 pagi Isnin dan tiba di rumah separuh jalan, Laban Rata pada 7.15 malam.
Pendakian puncak bermula pada 5 pagi keesokan hariny dan tiba di puncak pada awal pagi,
“Saya bersyukur dengan pencapaian ini pada usia 84 tahun. Bagi saya, usia bukan penghalang, dan saya percaya dengan keazaman dan semangat tinggi, segala-galanya boleh dicapai,” katanya kepada Bernama menerusi e-mel pada Jumaat.
Namun pendakian itu yang kedua bagi Azman untuk mencapai puncak Gunung Kinabalu dengan pendakian pertamanya ke puncak dicapai pada 71 pada 2010.
“Pencapaian ini juga sudah pasti akan menjadi inspirasi kepada semua, merentas semua generasi, bahawa tiada yang mustahil untuk dicapai dan dalam genggaman,” kata jurubank itu.
Azman telah memulakan sektor perbankan pada tahun 1960-an dengan menjadi pemacu utama pertumbuhan Kumpulan AmBank sejak 1982.
Dari asalnya sebagai Bank Pembangunan Arab-Malaysia dengan kakitangan awal seramai 200 orang, Azman membinanya sehingga kini menjadi sebuah konglomerat kewangan Kumpulan AmBank dengan lebih 9,000 kakitangan.