LPKP Sabah Akan Terus Beri Perkhidmatan Terbaik Meskipun Tiada Pejabat Labuan

LPKP Sabah Akan Terus Beri Perkhidmatan Terbaik Meskipun Tiada Pejabat Labuan

0
SHARE
Vivian
Vivian (dua kanan) mempengerusi mesyuarat LPKP di Labuan buat julung kalinya ( Sumber Foto: Ihsan LPKP )

LABUAN – Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, Vivian Wong Shir Yee memberi jaminan kepada semua pengendali kenderaan perdagangan di Labuan untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik meskipun tidak mempunyai pejabat di Labuan pada ketika ini.

Vivian yang juga Ahli Parlimen Sandakan berkata demikian ketika berucap merasmikan sesi dialog LPKP Sabah bersama pelbagai pengusaha kenderaan komersial di Labuan baru-baru ini pada Isnin.

Ini merupakan sesi dialog kali ketiga yang diadakan LPKP Sabah, selepas di Sandakan dan Tawau.

Vivian juga merupakan Pengerusi LPKP Sabah yang pertama melaksanakan pertemuan secara bersemuka bersama pengendali dan pihak berkepentingan di Labuan.

Hadir sama dalam sesi dialog itu, Timbalan Pengerusi LPKP Sabah, Datuk Musa Sulaiman dan Pengarah LPKP Sabah, Daikin Unsir.

Sepanjang sesi dialog hampir dua jam itu, beberapa wakil dari persatuan teksi tempatan, pengendali e-hailing, persatuan bas mini dan lori serta pengendali pengangkutan telah mengemukakan pelbagai isu berkaitan kebimbangan dari organisasi masing-masing.

Ini termasuk harga lantai tambang e-hailing, sekatan bagi teksi dan bas tempatan untuk melakukan perjalanan luar dari pulau ini apabila tidak beroperasi, had usia bas serta jenis kargo yang dibawa oleh lori berlesen.

“Walaupun tidak semua isu yang dibangkitkan dapat diselesaikan dengan segera, kebanyakan pengendali dan pihak berkepentingan juga gembira dengan sesi dialog yang kali pertama dianjurkan pihak LPKP Sabah di Labuan.

“Mereka berharap ia juga akan menjadi satu perkara dan keperluan biasa menerusi penglibatan LPKP Sabah yang peka terhadap pelanggannya yang berada jauh dari pejabat LPKP Sabah,” Vivian berkata.

Sementara itu, Vivian juga berikrar untuk terus bertemu dengan pelbagai pihak berkepentingan industri kenderaan perdagangan di seluruh negeri untuk mengumpul maklum balas dan cadangan yang amat diperlukan dari lapangan secara terus menerusi sesi dialog seumpama.

Jelasnya, Lembaga Pengarah bersama-sama Kementerian Pengangkutan juga akan meneliti setiap isu yang dibangkitkan semasa sesi dialog ini untuk terus menambahbaik perkhidmatan yang disediakan oleh LPKP Sabah.