KOTA KINABALU, SABAH – Gerakan Gabungan NGO Bebas Suara (BEBAS) mendesak pihak Polis untuk menangkap dan segera dakwa di Mahkamah terhadap netizen yang semakin kerap menabur FITNAH.
“Yang peliknya hasil tinjauan kami (BEBAS) kebanyakan netizen adalah daripada kalangan penyokong Parti Pembangkang.”
Menurut BEBAS lagi, “Apa yang mereka inginkan, adakah mereka suka melihat negeri Sabah ini berlaku huru hara sehingga mereka sanggup menyebarkan fitnah jahat sebegini?”.
Sebagai contoh fitnah yang telah dibuat oleh penama Facebook ‘Erviana Elvy’ yang telah tular baru-baru ini dan telah mencetuskan keadaan huru-hara di kalangan para peniaga makanan di seluruh Sabah.
Erviana telah memuat naik tulisan seperti berikut “Foh Sang sudah kena serbu. Jiran ku kiri kanan huru hara tutup meja customer terpaksa bangun dan lari, kesian bah. Semoga tuan kedai tabah la. RM50k bukan sikit. Sabah bah ni suka buat u-turn!. Sabah Maju Jaya.”
“Tulisan Erviana ini adalah jelas satu FITNAH yang cukup jijik dan jahat dengan tujuan mahu menimbulkan huru-hara serta membangkitkan kebencian yang melampau ke atas Kerajaan GRS,” tegas BEBAS.
Penguatkuasa DBKK Unit Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya dalam satu kenyataan rasmi (kelmarin) mengesahkan telah mengeluarkan saman ke atas Restoran Weng Foh, Damai Plaza Phase IV kerana kesalahan pengendali makanan gagal memiliki sijil kesihatan yang sah dan bukannya disebabkan menerima pelanggan untuk ‘Dine-in’ (makan dalam restoran).
Erviana turut berbohong kononnya saman dikeluarkan sehingga RM50 ribu, sebaliknya saman yang dikenakan hanya bernilai RM300 dan boleh merayu untuk pengurangan.
Hasil tinjauan wartawan SabahNews, Erviana telah memadam hantaran fitnah tersebut di laman media sosial Facebook miliknya.
Parti SAPP melalui Naib Presiden Gee Tien Siong dan Peguam Yong Yit Jee, Ahli Majlis Tertinggi Parti SAPP (kelmarin) turut tampil membuat laporan polis mengenai berita palsu ini di Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu.
Menurut Gee pihak berkuasa harus campur tangan menyelesaikan fitnah ini kerana ianya telah menyebabkan berlakunya huru hara khususnya di sekitar Kota Kinabalu.
Gee yang juga UPPM Luyang, pada masa yang sama juga menyelar sikap tidak bertanggungjawab pembangkang termasuk Setiausaha Agung DAP Sabah, Chan Foong Hin.
“Sebagai pemimpin, dia tidak berusaha menghentikan khabar angin itu. Sebaliknya, dia ‘meningkatkan’ dan secara terbuka menyebarkan lagi khabar angin itu.”
Dalam pada itu Pesuruhjaya Polis Sabah turut mengesahkan bahawa pihak polis tidak ada mengeluarkan denda terhadap makan dalam premis (kelmarin) walaupun PDRM belum menerima garis panduan SOP terkini dari Majlis Keselamatan Negara (MKN Sabah), pihaknya telah bertindak sepenuhnya sesuai dengan pengumuman YAB Ketua Menteri.
Untuk rekod individu yang menyebarkan berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 2 tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.