87 Stesen Minyak Dipantau, 70 Lagi Menyusul, KPDN-PDRM Banteras Ketirisan Bahan Api...

87 Stesen Minyak Dipantau, 70 Lagi Menyusul, KPDN-PDRM Banteras Ketirisan Bahan Api – Armizan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sebanyak 87 stesen minyak di kawasan sempadan dan berisiko tinggi di seluruh negara kini dipantau secara statik oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dengan 70 lagi stesen bakal disusuli dalam fasa kedua yang turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mempergiat usaha membanteras ketirisan dan penyeludupan bahan api.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 April lalu sebagai peluasan kepada penugasan statik sedia ada, susulan peningkatan risiko ketirisan petrol dan diesel akibat krisis tenaga global.

“Fasa pertama bermula 20 Mac hingga 10 April 2026 melibatkan 87 stesen minyak, dan kita akan teruskan dengan 70 stesen tambahan dalam fasa kedua bermula minggu depan yang turut melibatkan anggota PDRM,” katanya ketika ditemui media selepas program Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) di sini, hari ini.

Beliau berkata, penempatan anggota polis di stesen minyak berkenaan penting bagi memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan, khususnya di kawasan sempadan serta ‘hotspot’ berisiko tinggi yang terdedah kepada aktiviti penyeludupan.

“Langkah ini bertujuan memastikan kawalan lebih rapi terhadap bekalan bahan api serta mengekang sebarang ketirisan yang boleh menjejaskan ekonomi dan keselamatan negara,” katanya.

Menurut Armizan, keperluan memperluaskan penugasan statik dikenal pasti susulan laporan Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan yang dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Katanya, penglibatan PDRM juga mengambil kira kekangan sumber penguat kuasa KPDN serta tuntutan pemantauan lebih menyeluruh terhadap status bekalan dan harga barang di seluruh negara.

“Dalam situasi krisis tenaga global ketika ini, kita perlu bertindak lebih proaktif kerana ia turut memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan dan barangan, khususnya yang melibatkan sumber import,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang meneliti cadangan untuk melibatkan sukarelawan RELA dalam membantu pemantauan secara statik di stesen-stesen minyak berkenaan.