KOTA KINABALU: Kira-kira 9,000 peminat MILO membanjiri Padang Merdeka di sini sempena program MILO®️ Malaysia Breakfast Day 2026 yang berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti gaya hidup sihat baru-baru ini.
Program anjuran Nestlé menerusi jenama MILO®️ itu diteruskan bagi menggalakkan pengambilan sarapan berkhasiat serta amalan gaya hidup aktif khususnya dalam kalangan keluarga dan generasi muda.
Peserta daripada pelbagai peringkat umur mula berkumpul seawal pagi untuk menyertai larian santai sejauh tiga kilometer yang bermula pada jam 6.30 pagi selain menikmati pelbagai aktiviti interaktif dan cabaran kecergasan sepanjang program berlangsung.
Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Anil Sandhu berkata, kerajaan negeri menghargai komitmen berterusan MILO®️ dalam menyokong pembangunan sukan komuniti di Sabah menerusi pelbagai inisiatif termasuk Karnival Sukan Sekolah Pedalaman, MILO®️ Hidup Bola dan Rayzam Shah Athletic Club.
“Kami berbesar hati apabila MILO®️ terus menjadi rakan strategik dalam pembangunan sukan di Sabah. Kehadiran ramai keluarga pada program pagi ini jelas menggambarkan semangat kebersamaan yang cukup baik.
“MILO®️ sentiasa dekat dengan masyarakat kerana ia bukan sahaja memberikan tenaga, malah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita sejak sekian lama,” katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Lifred Wong berkata, MILO®️ mempunyai nilai sentimental tersendiri dalam kalangan masyarakat Sabah kerana menjadi sebahagian daripada memori zaman persekolahan dan kehidupan seharian ramai generasi.
Beliau berkata, program seperti itu mampu menggalakkan masyarakat daripada pelbagai lapisan umur untuk memulakan hari dengan lebih sihat dan aktif.
Dalam pada itu, peserta yang hadir turut berkongsi pengalaman serta kenangan bersama jenama ikonik berkenaan.
Afiqah Daid, 24, berkata seramai 30 ahli keluarganya datang dari Papar semata-mata untuk menyertai program berkenaan kerana MILO®️ sentiasa menjadi sebahagian daripada memori indah keluarganya sejak kecil.
Seorang lagi peserta, Annie Chung Sheu Keng, 57, berkata beliau bersama suami dan rakannya aktif menyertai program larian MILO®️ sejak 2007 dan berharap penglibatan mereka dapat memberi inspirasi kepada masyarakat khususnya warga emas untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat.
Selain larian, peserta turut menikmati pelbagai permainan mini dan aktiviti interaktif, manakala kemunculan trak ikonik MILO®️ sekali lagi mengimbau nostalgia zaman persekolahan ramai pengunjung.
Program MILO®️ Malaysia Breakfast Day 2026 selepas ini dijadual diteruskan ke Kuala Terengganu, Kuching, Kuantan dan Kota Bharu sebelum acara kemuncak di Putrajaya pada 12 Julai depan.






