KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan baharu Sabah digesa untuk membuat pelantikan dengan segera jawatan Ketua Kampung dan MPKK di setiap kampung seluruh Sabah.
Ir Abdul Aziz Julkarnain, Ketua Pemuda UMNO Sabah berkata “dalam keadaan negeri Sabah sedang menghadapi pandemik COVID-19, pastinya cabaran-cabaran yang luar biasa dan besar akan mendepani rakyat.
“Justeru, sudah tentu kita perlu menggunakan pendekatan-pendekatan yang efisien, teratur dan pantas agar kita dapat mendepani setiap permasalahan dengan cara yang terbaik, sekaligus menyelesaikannya.”
Abdul Aziz berkata “sebagai permulaan, saya menyeru kepada Kerajaan baharu ini untuk menyelesaikan pelantikan-pelantikan jawatan seperti Ketua Kampung dan MPKK dengan kadar segera.”
“Kita tidak boleh mengulangi kegagalan kerajaan terdahulu yang melambat-lambatkan pelantikan jawatan-jawatan tersebut sehingga membantutkan segala pelan transformasi pembangunan komuniti setempat.”
“Kegagalan tersebut juga turut mengakibatkan wakil-wakil rakyat sukar untuk melaksanakan tugas dan peranan mereka dengan baik kerana tidak mendapat kerjasama yang sewajarnya daripada pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.”
“Justeru, kerajaan hari ini perlu mengambil serius isu ini agar pembinaan modal insan yang komprehensif untuk membentuk komuniti progresif di seluruh negeri dapat dilaksanakan selari dengan dasar dan polisi kerajaan yang baru,” Abdul Aziz berkata lagi.





