KOTA KINABALU, SABAH – Tindakan segelintir pimpinan Warisan yang cuba mengambil kesempatan membangkitkan sentimen perkauman melalui isu pengguna di pasaraya baru-baru ini jelas menunjukkan kedangkalan pemimpin parti itu dalam memahami hak pengguna di Sabah.
Oleh kerana kedangkalan itu jugalah Warisan hanya mampu memerintah negeri Sabah beberapa bulan di samping kegagalan dalam menjaga kepentingan masyarakat Sabah sehingga kecundang dalam PRN yang lepas.
“Bagi Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Warisan hanya sebuah parti yang sudah ditelan zaman kegemilangannya, hilang taringnya dan tiada kemampuan untuk meraih tempat semula dalam hati masyarakat Sabah sampai bila-bila,” kata Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah Zulzaim Hilmee Abidin.

Katanya Warisan sewajarnya memberikan penghargaan kepada ADUN PAS kelahiran Tenom, Dr. Aliakbar Gulasan yang menjalankan tugas sebagai pemimpin masyarakat dan sanggup membawa suara pengguna Muslim untuk keselesaan dan kepentingan masyarakat yang rencam dengan kepelbagaian etnik.
“Umum mengetahui sikap YB Dr. Aliakbar yang sentiasa bekerja untuk masyarakat dan ia ternyata berbeza dengan pemimpin Warisan yang diberi peluang mentadbir Sabah pada penggal lalu kerana dilihat hanya mendiamkan diri mengenai sesuatu isu demi meraih sokongan politik, bahkan tidak kurang pimpinannya terpalit dengan isu rasuah sehingga menyebabkan Warisan ditolak secara penuh oleh orang Sabah.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terutama parti STAR dan SAPP yang lebih memahami budaya hidup bermasyarakat di Sabah berbanding Warisan.
“Ia jelas menunjukkan bahawa kesatuan parti-parti kerajaan negeri yang mewakili pelbagai etnik dan agama lebih kehadapan untuk mewujudkan suasana yang harmoni dalam kalangan rakyat Sabah,” tegasnya.





