KWSP hak pencarum, bukan bantuan kerajaan – PGIRM

KWSP hak pencarum, bukan bantuan kerajaan – PGIRM

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) menegaskan bahawa simpanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan hak pencarum sepenuhnya dan bukannya bantuan daripada kerajaan atau mana-mana pihak.

Presidennya, Azmi Mohd Tahir berkata, pihaknya mengambil maklum sepucuk surat yang dihantar oleh Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim kepada Perdana Menteri berhubung cadangan memberi fleksibiliti pengeluaran KWSP kepada pencarum.

Menurutnya, cadangan tersebut termasuk kemungkinan memasukkan dividen ke dalam Akaun Fleksibel (Akaun 3) atau membenarkan pengeluaran khas secara sekali sahaja (one-off) bagi membantu pencarum yang terkesan dengan tekanan kewangan semasa.

“PGIRM menghargai sebarang usaha mana-mana Ahli Parlimen yang membawa suara kesusahan rakyat kepada perhatian kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Bagaimanapun, beliau berkata, sebahagian kandungan surat tersebut menimbulkan perbincangan dalam kalangan pencarum, khususnya apabila isu kesusahan kewangan rakyat dibandingkan dengan bonus atau insentif yang diterima penjawat awam serta sebahagian pekerja sektor swasta.

Sehubungan itu, katanya, PGIRM menegaskan bahawa simpanan KWSP merupakan wang milik pencarum sendiri hasil titik peluh mereka yang disimpan untuk kegunaan masa depan.

“KWSP bukan bantuan kerajaan dan bukan hadiah daripada mana-mana pihak. Ia adalah hasil kerja keras rakyat yang disimpan bagi menjamin kehidupan selepas bersara,” ujarnya.

Azmi turut menegaskan bahawa sebarang fleksibiliti pengeluaran perlu dilaksanakan secara bersasar dan tidak bertujuan menghabiskan simpanan persaraan pencarum.

Sebaliknya, jelas beliau, ia sepatutnya dilihat sebagai respons kepada tekanan kewangan sebenar yang dihadapi rakyat seperti kehilangan pekerjaan, pendapatan tidak menentu serta komitmen hutang isi rumah.

Dalam masa sama, PGIRM turut menyeru agar suara pencarum didengar dalam sebarang perbincangan berkaitan dasar pengeluaran simpanan tersebut.

“Rakyat tidak mahu perbandingan antara kumpulan pekerjaan. Apa yang mereka mahukan ialah pendekatan yang adil, telus dan bersasar tanpa menjejaskan masa depan simpanan persaraan,” katanya.

Menurut beliau lagi, pencarum juga tidak meminta sebarang bentuk sedekah, sebaliknya hanya menuntut hak terhadap wang simpanan sendiri yang telah dikumpul melalui kerja keras selama bertahun-tahun.