KOTA KINABALU, SABAH – Polis Sabah telah menangkap 10 daripada 69 orang yang dikenal pasti melarikan diri dari Kampung Pondo, Pulau Gaya pada Selasa bagi mengelak Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Tahanan tersebut merupakan penjual ikan dan pekerja pasar yang dicekup di tempat kerja mereka awal hari ini kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali.
Dia mengatakan jumlah 69 orang yang melarikan diri itu merupakan kontak rapat pesakit COVID-19.
“Mereka sepatutnya dikenakan ujian ‘swab test’ oleh pegawai kesihatan dan dikuarantin…
“Mungkin ada antara mereka yang positif tetapi Jabatan Kesihatan lebih mengetahui tentang hal ini,” katanya ketika dihubungi wartawan.

Hazani berkata pada Selasa, 69 orang itu didapati hilang dan dianggap telah melarikan diri.
Kumpulan 10 orang tersebut telah dihantar ke salah satu pusat kuarantin dan rawatan COVID-19 dalam bandar ini.
“Pasukan keselamatan masih giat mencari sisa saspek sama ada di darat mahupun laut,” katanya.
Meskipun polis sedang memantau jalan keluar-masuk perkampungan atas air Pulau Gaya, masih terdapat lautan luas di mana saspek ini mungkin berselindung kata Hazani.
Pada awalnya beliau telah mengeluarkan amaran kepada pelarian berkenaan untuk kembali ke pulau dan melaporkan kehadiran mereka kepada pihak berkuasa jika tidak ingin diambil tindakan undang-undang.
Kampung Pondo merupakan salah satu dari empat kampung di kawasan Pulau Gaya yang akan berada di bawah PKPD berkuat kuasa esok.





