PUTATAN, SABAH – Membudayakan masyarakat prihatin mampu membantu golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 di negeri ini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya berkata sikap prihatin dalam masyarakat akan dapat memelihara kesejahteraan rakyat terutamanya semasa kita menghadapi pandemik COVID-19.
“Hikmah disebalik pandemik ini adalah timbul semangat saling bantu membantu kita sesama masyarakat tanpa melihat latar belakang…
“Kita sama-sama sedar bahawa kita harus bantu membantu golongan terkesan agar kesejahteraan rakyat itu dapat kita sama-sama pelihara dan dapat membantu golongan yang amat terkesan,” katanya.
Shahelmey berkata demikian ketika menyempurnakan acara agihan bakul makanan Program Kemasyarakatan inisiatif Persatuan Komuniti Taman Desa Seri Ketiau di Putatan pagi tadi.
Turut hadir semasa program tersebut ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat N24 Tanjung Keramat; Sufian Matin dan Pengerusi Persatuan Komuniti Taman Desa Seri Ketiau; Mohamad Al’freedo Mohd Yahya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N24 Tanjung Keramat itu berharap usaha dan semangat ini akan dapat terus subur dari masa ke semasa, tidak kira semasa pandemik atau pada masa-masa akan datang.





