KUALA LUMPUR – Hasrat skuad bola sepak kebangsaan untuk beraksi dalam perlawanan persahabatan antarabangsa bulan depan tidak kesampaian kerana masih belum mendapat sebarang kebenaran atau kelonggaran yang diperlukan daripada pihak berkuasa.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan yang dipetik portal berita BH Online berkata, perkembangan itu menyebabkan pasukan negara lain yang sebelum ini dalam perbincangan bagi mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad Harimau Malaya terpaksa membuat perancangan lain.
Justeru, katanya, FAM membuat keputusan memulangkan semula tarikh untuk panggilan skuad kebangsaan bagi jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dari 30 Ogos hingga 7 September ini kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
“Disebabkan itu, negara-negara antarabangsa lain yang terbabit tidak dapat menunggu lagi untuk kebenaran yang perlu didapati daripada FAM dan mereka terpaksa membuat keputusan untuk membuat perancangan lain bagi pasukan masing-masing…
“Bagaimanapun, fokus FAM kini adalah melakukan perancangan dan persediaan awal untuk mendapatkan pasukan lawan yang baharu bagi jendela perlawanan antarabangsa FIFA berikutnya iaitu dari 4 hingga 12 Oktober ini.
“Ia sebagai persiapan skuad Harimau Malaya menjelang Piala Suzuki AFF 2020 pada Disember ini dan juga pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 bermula Februari tahun depan.
“FAM juga berharap agar permohonan kali ini mendapat perhatian dan kelulusan awal daripada pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Sebelum ini, tiga pasukan dilaporkan berada dalam pertimbangan FAM bagi dua perlawanan antarabangsa pada jendela FIFA iaitu Palestin, India dan Taiwan.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan mengesahkan pihaknya terpaksa menggunakan tempoh ‘FIFA Days’ atau jendela perlawanan antarabangsa demi melengkapkan perlawanan Liga Malaysia (Liga M) termasuk yang tertunda akibat COVID-19 dan perkara itu sudah mendapat ‘lampu hijau’ dari FAM.