KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak 2,762 buah peranti selesai diserahkan kepada pelajar dari kumpulan B40 di 12 sekolah sekitar Sabah.
Peranti tersebut termasuk komputer riba Lenovo Thinkpad dan Acer Chromebook, tablet Microsoft Surface dan Apple iPad yang disumbangakan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah program CERDIK seliaan Yayasan Hasanah.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Haji Yakub Khan berkata, kerajaan sentiasa menyedari kesulitan yang dihadapi pelajar dalam melakukan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
“Kerajaan terus membantu meringankan beban ibu bapa dan kanak-kanak bagi meneruskan pelajaran dengan selesa bersama rakan mereka yang lain…
“Penyerahan akan dibuat secara berperingkat disebabkan oleh kekangan pandemik,” katanya ketika ditemui wartawan semasa sesi penyerahan di SMK Tebobon di sini pagi tadi.

Jelas beliau bantuan tersebut dirancang sejak awal tahun lagi tetapi mencari bekalan peranti dengan jumlah sebanyak itu untuk seluruh negara tidak mudah.
“Penerima program ini merupakan pelajar Tahun 4 untuk Sekolah Rendah, dan Tingkatan 3 bagi Sekolah Menengah…
“Selain ini, Kerajaan Sabah juga memainkan peranaan dalam membangunkan negeri dengan mengagihkan 10,000 komputer riba melalui Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) untuk pelajar Tingkatan 6 dan 6,” tambahnya.





