STF Agriculture Bantu Ringankan Beban Petani Buah-Buahan Di Beaufort

STF Agriculture Bantu Ringankan Beban Petani Buah-Buahan Di Beaufort

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Nasib petani buah-buahan di Beaufort yang sedang mengalami musim buah terburuk tahun ini mendapat perhatian STF Agriculture Sdn Bhd.

Ia merupakan sebuah syarikat tempatan yang menjalankan penternakan ayam berintegrasi.

Pengurus syarikat Dr Ronald Fung kelmarin menyumbangkan 56 tan baja organik sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab korporat sosial (CSR) syarikat untuk membantu meringankan beban petani dan menyediakan mereka untuk musim buah yang akan datang.

Sumbangan itu disampaikan kepada wakil penanam buah-buahan yang berdaftar di bawah Program Ladang Kontrak Perbadanan Kemajuan Luar Bandar (KPD).

Majlis itu disaksikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Pertanian dan Perikanan, Arlinsia Agang dan Pengurus Besar KPD Jamilah Lee.

“Kementerian sentiasa mengalu-alukan sebarang inisiatif sektor swasta untuk membantu petani meningkatkan pengeluaran mereka, khususnya dalam mempromosikan hasil organik, supaya kita dapat meletakkan Sabah sebagai salah satu pengeluar premium makanan mampan dan selamat di rantau ini…

“Saya memuji STF Agriculture Sdn Bhd atas kemurahan hati mereka hari ini dan saya yakin penerima akan menggunakan baja ini dengan baik terutamanya kerana baja ini lebih mesra alam berbanding baja kimia,” kata Agang.

Beliau menyatakan harapannya agar syarikat lain di Sabah akan mengambil inisiatif yang sama untuk menyokong industri pertanian tempatan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Pengurus Besar KPD, Andree Funk dan Rosnih Othman serta Pengurus Wilayah KPD (Pantai Barat) Sintar Laus.