KUCHING, SARAWAK – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima pemakluman rasmi daripada Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengenai pembatalan Proklamasi Darurat bagi negeri itu semalam.
Menurut kenyataan Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak yang dikeluarkan hari ini, beliau memaklumkan berdasarkan Seksyen 3 (3) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021, Dewan Undangan Negeri hendaklah terbubar pada tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan.

“Di bawah Seksyen 3 (4) Ordinan yang sama berkehendakkan suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan…
“Justeru itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut… Tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian oleh SPR,” jelasnya.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengenai pembatalan Proklamasi Darurat bagi Sarawak, yang berkuat kuasa sejak 2 Ogos lepas.

Pemangku Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini dalam kenyataan semalam memaklumkan perkenan Seri Paduka terhadap pembatalan Proklamasi Darurat berkenaan selaras dengan Perkara 40 dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan.





