‘Bersama Bangunkan Sabah Dan Sarawak – Ongkili

‘Bersama Bangunkan Sabah Dan Sarawak – Ongkili

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen diminta supaya tidak saling menuding jari berhubung isu pembangunan di Sabah dan Sarawak sehingga boleh menggugat keamanan dan kestabilan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang dipetik Bernama berkata semua pihak perlu bekerjasama supaya agenda merapatkan jurang perbezaan antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung dapat direalisasikan.

Sejak Sabah dan Sarawak membentuk sebahagian daripada Malaysia, katanya, hak-hak istimewa bagi kedua-dua negeri itu sentiasa terpelihara seperti diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Saya ingin menegaskan, kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memastikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dilaksanakan menerusi penubuhan Majlis Khas Mengenai MA63 yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri…

“Sudah pasti pelaksanaan perkara-perkara yang dibincangkan di bawah majlis khas berkenaan memerlukan masa untuk dilaksanakan dan menuntut kesabaran.

“Ia juga dikendalikan melalui pendekatan yang harmoni sebagai Keluarga Malaysia,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat semalam.

Datuk Seri Dr Maximus Ongkili…

Ongkili berkata, Majlis Khas Mengenai MA63 sebelum ini bersetuju Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 yang antara lain bertujuan meminda Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan mengenai tafsiran ‘Persekutuan’, dibawa ke pertimbangan Jemaah Menteri.

Katanya, ia dibentang untuk bacaan kali pertama di Parlimen pada 3 November lalu.

Selain itu, katanya, majlis khas berkenaan turut bersetuju supaya inisiatif pemerkasaan pelesenan perikanan laut dalam dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) kepada Jabatan Perikanan Sabah, susulan tuntutan kerajaan negeri berkaitan perkara penangkapan ikan, perikanan laut dan muara.

“Inisiatif ini dijangka selesai dilaksanakan selewat-lewatnya Disember tahun ini…

“Majlis khas juga bersetuju supaya inisiatif pemerkasaan ini diperluaskan kepada Jabatan Perikanan Laut Sarawak atas permintaan kerajaan negeri itu ketika mesyuarat berlangsung,” katanya.