APM Akan Laksanakan Sesi Uji Lari Siren Amaran Bencana 1 Disember Ini

APM Akan Laksanakan Sesi Uji Lari Siren Amaran Bencana 1 Disember Ini

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sabah akan melaksanakan sesi uji lari satu (1) unit siren amaran awam yang telah dipasang di bangunan strategik sekitar daerah ini.

Pengarah APM Sabah, Kol .(PA) Sharudin Bin Md Zain dalam satu kenyataan hari ini berkata, siren amaran yang dipasang ini merupakan jenis siren elektrik 400 volt yang telah dibawa masuk ke Malaysia termasuk Sabah sekitar tahun 1968 hingga 1970.

Siren amaran ini telah diselenggara dan akan diuji kebolehfungsiannya pada hari Rabu 1 Disember 2021 dalam dua (2) fasa ujilari iaitu fasa siang hari dari jam 11 pagi hingga jam 12 tengahari dan fasa malam hari dari jam 10 malam hingga 11 malam untuk melihat jarak jangkauan dan litupan bunyi yang boleh dicapai dari titik lokasi siren.

“Uji lari siren akan dilaksanakan dengan mengaktifkan dua (2) nada bunyi dalam setiap fasa yang akan dioperasikan untuk tempoh selama dua (2) minit bagi setiap nada bunyi,” jelasnya.

Bagi maksud uji lari ini, pihak APM Sabah memohon kerjasama semua penduduk awam yang sekiranya mendengar bunyi siren tersebut agar tidak panik dan boleh meneruskan urusan masing-masing seperti biasa.

Pihak APM Sabah turut akan menempatkan sejumlah anggota di lokasi tertentu untuk memantau situasi keselamatan awam dalam tempoh pelaksanaan uji lari siren amaran ini.