LABUAN – Kelemahan sistem imigresen Sabah, khususnya bagi pengunjung dari Labuan yang masuk ke Sabah melalui Menumbok, Kuala Penyu harus diperketatkan demi kedaulatan negeri.
Naib Presiden PBS, Datuk Peter Mak berkata demikian sambil menambah pekara itu harus dihormati bermula sekarang setelah sekian lama terbiar sebelum ianya terlambat.
Katanya ketibaan pengunjung daripada Labuan masuk ke Sabah melalui Lapangan Antarabangsa Kota Kinabalu dan Jesselton Point akan bertemu dengan kaunter Imigresen.
“Seharusnya juga tiada pengecualian bagi Terminal Feri Menumbok. Individu dengan dokumen yang sah tidak perlu bimbang, malah penambahbaikan sistem ini bermanfaat untuk Sabah dan Labuan…
“Ia akan memudahkan tugas pihak penguatkuasa untuk mengesan individu yang menggunakan Labuan sebagai pusat transit aktiviti berkait jenayah,” katanya.

Peter juga bersetuju dengan Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Labuan, Datuk Dhalif Singh, yang menyatakan Labuan dan Sabah mempunyai “pertalian istimewa” kerana Labuan dahulunya sebahagian daripada Sabah.
“Anak tulen Labuan tidak perlu merisaukan apa-apa ketika masuk ke Sabah kerana kebebasan perjalanan mereka akan sentiasa dilindungi…
“Dhalif cuma bimbang jika pasport diperlukan semasa memasuki Menumbok atau Sabah namun itu tanggapan yang salah, kerana hanya kad pengenalan Malaysia (MyKad) diperlukan untuk memasuki Sabah bagi warganegara Malaysia,” jelasnya
Beliau berkata ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) masih menggunakan Menumbok untuk masuk ke Sabah secara haram.
“Penambahbaikan kelemahan imigresen ini adalah selari dengan perlindungan hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63),” tegasnya.





