PAS Hanya Bertanding 1 Kerusi Di PRN Sarawak

PAS Hanya Bertanding 1 Kerusi Di PRN Sarawak

0
SHARE

KUCHING, SARAWAK – PAS memutuskan untuk bertanding hanya satu kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro dengan mencalonkan seorang usahawan, Mohammad Arifiriazul Paijo.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata keputusan itu dibuat kerana mengambil kira keadaan semasa pandemik COVID-19 yang mengehadkan kempen pilihan raya.

Katanya, turut mendorong keputusan itu ialah faktor hubungan kerjasama di peringkat kerajaan pusat yang membabitkan pelbagai parti termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Memang sebelum ini kita bertanding 11 kerusi, jauh beza dengan kali ini tetapi kita ada sokongan baik dan mahu memberi fokus kepada jentera sedia ada dan tidak libatkan jentera luar…

“Jadi kita harap calon PAS diterima baik di Beting Maro, kita sudah bertanding sejak 2001 lagi dan prestasi semakin baik setiap kali pilihan raya,” jelasnya dalam sidang akhbar khas di sini, malam tadi..

Katanya, PAS juga tidak asing di Beting Maro berikutan PAS selalu melakukan kerja-kerja kebaikan dan kemanusiaan sepanjang waktu dan bukannya pada PRN sahaja.