KOTA KINABALU, SABAH – Pemberian kuasa perikanan adalah langkah pertama ke arah Sabah memperoleh semula autonomi yang lebih besar daripada kerajaan persekutuan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan berkata, beliau gembira kerana perjuangan untuk memulihkan autonomi Sabah semakin rancak sejak Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih kuasa.
“Ini juga adalah satu langkah yang sangat baik dan positif ke arah mencapai autonomi Sabah dan Sarawak…
“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan dan rakan sejawatan saya, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Panglima Ronald Kiandee, kerana membolehkannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Jeffrey kelmarin telah menghadiri majlis terima surat kuasa lesen laut dalam di Sabah di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah.
Majlis itu dianjurkan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak). Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili.
Kitingan berkata hasil penurunan kuasa itu, kementeriannya melalui Jabatan Perikanan Sabah kini boleh memproses dan mengeluarkan lesen perikanan laut dalam di Sabah dan Labuan.
“Langkah seterusnya ialah kerajaan Sabah menggubal undang-undang perikanan kita sendiri. Ini adalah satu perkembangan besar dan kemenangan bagi kerajaan Sabah pimpinan GRS sehingga mampu mencapainya…
“Sebelum hari ini, semua yang dikaitkan dengan lesen laut dalam perlu dibawa ke peringkat persekutuan yang menyusahkan dan merugikan industri perikanan kita,” katanya.
Beliau meneruskan usaha cemerlang kerajaan GRS ke arah memulihkan autonomi penuh Sabah tidak akan berhenti malah kerajaan GRS akan terus bekerjasama dengan kementerian Dr. Maximus untuk mencapai autonomi penuh.
“Intinya, kita mahukan hak kita kembali, dan saya gembira kita sedang membuat kemajuan ke arah itu…
“Dengan kerjasama yang erat dan sihat antara kerajaan Sabah dan kerajaan persekutuan, saya optimis kita akan dapat mencapainya lebih awal,” katanya.





