Kampung Tajau Laut Berpotensi Jadi Destinasi Pelancongan Desa Sabah

Kampung Tajau Laut Berpotensi Jadi Destinasi Pelancongan Desa Sabah

0
SHARE

KUDAT, SABAH – Kampung Tajau Laut di sini mempunyai potensi besar untuk menjadi salah sebuah destinasi pelancongan desa bagi mereka yang ingin melarikan diri daripada kesibukan bandar dan menikmati suasana kehidupan yang nyaman di pesisir pantai.

Terletak kira-kira 180km dari Kota Kinabalu, perkampungan nelayan tersebut mempunyai kira-kira 500 penduduk di mana majoritinya adalah dari suku kaum Bajau yang bergantung kepada hasil laut.

Buat masa ini, hanya sebuah rumah penginapan terdapat di kampung iaitu Tajau Laut Guesthouse yang dikendalikan oleh Junaidi Awang Bulat.

Junaidi Awang Bulat…

Anak jati kelahiran Kudat itu telah menyumbang kepada pembangunan pelancongan di kawasan tersebut dengan membawa pelancong dan melibatkan masyarakat setempat dalam aktiviti pelancongan.

“Pelancongan di sini masih baru. Saya memulakan aktiviti pelancongan pada tahun 2016. Dengan bantuan penduduk kampung, saya membina rumah penginapan yang diperbuat daripada kayu-kayu yang hanyut,” katanya.

Kini, Tajau Laut Guesthouse mempunyai tiga (3) buah unit rumah penginapan dengan lima bilik tidur keseluruhannya.

Sejak beroperasi, Tajau Laut Guesthouse mencatatkan peningkatan dalam ketibaan pelancong ke penginapan tersebut sepanjang tahun, dengan 589 pengunjung direkodkan pada 2019.

Daripada jumlah itu, 446 pengunjung adalah pelancong warga asing dari Eropah, Australia, Afrika Selatan, New Zealand, Taiwan, India, Argentina, dan Jepun, antara lain.

Junaidi berkata penduduk kampung telah menyatakan minat untuk membangunkan pelancongan berasaskan komuniti selepas melihat sambutan yang menggalakkan.

Baru-baru ini, unit produk daripada Lembaga Pelancongan Sabah (STB) melawat ke Kampung Tajau Laut untuk memberi taklimat kepada penduduk kampung mengenai konsep pelancongan berasaskan komuniti setelah melihat potensinya.

Pihak STB dalam sesi penglibatan (engagement) bersama penduduk Kampung Tajau Laut di Kudat…

Ahli Lembaga STB, Walter Kandayon, pengurus produk STB, Daniel Roman, dan penolong pengurus produk Jason Jay Justin Paujik serta Doren Munting hadir untuk memberikan taklimat tersebut.

Junaidi berkata penduduk kampung menzahirkan terima kasih kepada pihak STB kerana telah datang bertemu dengan mereka.

“Sesi penglibatan sebegini telah meningkatkan kesedaran komuniti kampung tentang keperluan bekerjasama untuk menjadikan Kampung Tajau Laut sebagai destinasi pelancongan berasaskan komuniti luar bandar selain kepentingan menjaga kebersihan kampung…

“Sebagai langkah permulaan, masyarakat kampung telah membentuk sebuah jawatankuasa untuk membincangkan perkara-perkara yang perlu, seperti produk atau aktiviti yang berpotensi untuk diperkenalkan kepada pengunjung akan datang,” katanya.

Kini, pelancong dan pelawat yang berkunjung ke Kampung Tajau Laut boleh melakukan aktiviti snorkeling, berkayak, memancing, pemuliharaan karang, dan memasak.

Aktiviti-aktiviti yang disediakan di Tajau Laut Guesthouse…

Komuniti kampung tersebut juga bercadang untuk mewujudkan laluan denai bagi aktiviti ‘jungle trekking’ pada masa akan datang.

Semasa sesi penglibatan tersebut, kakitangan STB bersama-sama dengan penduduk kampung turut melakukan pembersihan pantai dengan mengumpul sebanyak 438kg sampah.

Botol plastik, beg plastik dan pembungkusan plastik makanan merupakan sebahagian besar daripada sampah yang dikumpul.

STB bersama penduduk Kampung Tajau Laut membersihkan persisiran pantai dari sampah sarap…

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif STB, Noredah Othman, berkata STB sangat menggalakkan penduduk kampung menceburi bidang pelancongan dan membangunkan sumber yang ada di kawasan masing-masing.

“Sejak beberapa tahun ini, Kudat telah menyaksikan lebih banyak pertumbuhan penginapan dan sudah tentu daerah ini mendapat manfaat daripadanya…

“Selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan kami, pihak STB sentiasa berinisiatif untuk membimbing pemilik produk pelancongan dan pengusaha pelancongan dalam mempraktikkan amalan kelestarian,” ujarnya.