PUTATAN, SABAH – Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) hari ini menerima kemasukan 1,015 ahli baharu di bawah kepimpinan bekas Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Dr. Marcus Mojigoh.
Dr. Marcus berkata beliau sebenarnya sudah penat berpolitik dan ingin meluangkan masa di kebun, namun sokongan dari peringkat akar umbi memberikan beliau suntikan semangat.
“Saya terguris hati apabila dikatakan seolah-olah tidak lagi bertanggungjawab terhadap nasib warga Putatan. Saya berkata baiklah, dengan syarat 1,000 pengikut saya akan meneruskan perjuangan…
“Mereka (pengikut) dengan sebulat suara 1015 orang yang dahagakan perubahan menyahut cabaran itu,” katanya di Dewan Miniantub, Duvanson, sini hari ini.
Katanya kepimpinan Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang memperjuangkan untuk lebih kuasa autonomi kepada Sabah penting jika tidak mahukan negeri ini terus dianaktirikan.
“Tiada salah dengan membangkitkan isu-isu sensitif kepada pemimpin di Putrajaya jika ianya memang berkait dengan mengembalikan hak asal Sabah.
“Kita juga mahukan generasi muda kita untuk mengambil tahu dan peduli tentang perjuangan-perjuangan hak Sabah…
“Kita boleh bekerjasama dengan sesiapa pun pemimpin di Putrajaya jika mereka dapat menepati 20 Perkara yang tertulis pada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kalau mereka mahu Sabah sebahagian daripada Malaysia, Sabah seharusnya dilayan dengan sama rata dan ukannya didiskriminasikan.
“Perkara ini sudah cukup menyakitkan kebanyakkan hati warganya,” katanya.
Dengan menggunakan peribahasa Kadazan, beliau menggambarkan Perdana Menteri, Dato Sri Ismail Sabri sebagai seorang yang ibarat “memakan isi tetapi memberikan tulang” kepada orang Sabah.
Tambahnya, buat masa ini, beliau akan terus menyokong perkembangan penyokongnya yang datang dari tiga (3) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tertakluk kepada kepimpinan STAR.
“Kalau mereka (STAR) mahu saya menjadi pencuci jamban, atau ‘office boy’ itu terpulang kepada bagaimana mereka melihat harga diri saya,” katanya.
Dalam pada itu, Jeffrey gembira dengan kemasukan ahli baru itu sambil berkata STAR dalam perjalanannya untuk menjadi parti politik yang lebih kukuh.

“Kemasukan ahli baru ini biasanya berlaku menghampiri hari pengundian tetapi kali ini jauh lebih awal…
“Dengan semangat bersatu ini, Sabah mampu melihat satu landasan politik teguh yang akan lebih menguatkan suaranya untuk mengambil semula hak-hak demi pembangunan negeri,” katanya.
Beliau berkata Sabah terlalu bergantung kepada atur gerak Semenanjung dan dengan itu harus mengorak langkah sendiri sebagai Borneo bersama negeri saudara iaitu Sarawak.
Tambahnya, apabila Sabah lebih kuat dari segi kewangan dan politik maka politik negara Malaysia juga akan lebih stabil.
Mengulas tentang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), katanya ia boleh diadakan pada bila-bila masa dan oleh itu STAR sentiasa menggerakkan jentera parti.
“Kini STAR berada dalam proses mengenal pasti calon dan kawasan sesuai untuk bertanding, mempelajari kekuatan dan kelemahan parti, serta menilai siapa musuh dan siapa kawan…
“Kita mahu bertanding semua kawasan tetapi berada dalam sebuah gabungan. Jadi, perundingan antara parti dalam kumpulan harus dibuat terlebuh dahulu untuk mengenal pasti kawasan mana yang sesuai untuk bertanding.
“Sekarang kita fokus kepada kawasan kuat STAR dan akan terus bekerjasama dengan parti rakan-rakan yang lain dengan memberikan sokongan padu,” katanya.
Jeffrey berkata STAR kini mempunyai lebih 400,000 ahli yang merangkumi 61 bahagian dan sedang giat berusaha untuk memenuhi kesemua 71 bahagian di Sabah.





