Polis Sabah Minta Saksi, Waris Mangsa Maut Di Hadapan Laluan KKIA Tampil

Polis Sabah Minta Saksi, Waris Mangsa Maut Di Hadapan Laluan KKIA Tampil

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Seorang pejalan kaki yang tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan maut oleh seorang pemandu dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di laluan berhadapan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Menurut Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Deputi Superintenden Jo Ak Hang berkata, seorang pemandu yang kebetulan melalui jalan berkenaan ternampak mangsa berkenaan kira-kira jam 3.40 pagi kelmarin.

Memetik kenyataan Utusan Malaysia, pemandu berkenaan terus menghubungi pihak polis untuk memaklumkan tentang kejadian tersebut.

“Selepas menerima maklumat mengenai kejadian itu, sepasukan anggota dan pegawai polis bergegas ke lokasi kemalangan dan mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala…

“Tiada sebarang pecahan komponen kenderaan atau kesan tayar ditemukan di sekitar lokasi kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Justeru itu, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan maut berkenaan untuk tampil membantu siasatan.

Ini kerana, pihaknya hanya menemukan sekeping gambar keluarga di dalam poket seluar mangsa dan mangsa tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri.

Tambah Jo Ak, berdasarkan sampel darah yang dilakukan semasa bedah siasat bagi analisis alkohol dan dadah, mangsa tidak disyaki mabuk mahupun berada di bawah pengaruh dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Waris atau keluarga mangsa boleh berhubung dengan pegawai penyiasat trafik IPD Kota Kinabalu Inspektor  Nurul Farhana Fadzil di talian 013-8090954.