Pemimpin Muda Perlu Kuasai Kemahiran Pengucapan Awam – Andi

Pemimpin Muda Perlu Kuasai Kemahiran Pengucapan Awam – Andi

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), Jabatan Ketua Menteri Sabah menganjurkan Bengkel Pengucapan Awam yang melibatkan para pimpinan mahasiswa/pelajar Sabah, pemimpin/aktivis belia dan NGO serta para penggiat media sosial bertempat di Palace Hotel Kota Kinabalu.

Majlis perasmian bengkel telah disempurnakan oleh YB Tuan Andi Muhamad Suryady Bin Bandy, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Negeri Sabah.

Dalam ucapannya YB Andi menyatakan para pimpinan belia, NGO, pelajar, mahasiswa dan penggiat media sosial merupakan pemimpin di peringkat akar umbi yang perlu memiliki dan menguasai kemahiran dan seni pengucapan awam bagi memudahkan mereka menyampaikan setiap dasar dan polisi kerajaan bagi memastikan rakyat bukan sahaja memahami malah mendapat manfaat daripadanya.

Beliau juga mengharapkan para peserta dapat terus mempraktikkan ilmu yang diperolehi melalui bengkel tersebut dengan mencari platform seperti forum, wacana, syarahan, dialog dan sebagainya.

Terdahulu, En. Azrul Bin Ibrahim, Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), Jabatan Ketua Menteri Sabah dalam ucapannya menyatakan bengkel yang diadakan merupakan sebahagian daripada usaha IKRAR untuk mendekati rakyat khususnya anak muda bagi menyemarakkan lagi kebersamaan antara kerajaan dan rakyat.

Bengkel yang berlangsung selama 3 hari 2 malam ini dikendalikan oleh En. Roslie Hussien, seorang fasilitator yang berpengalaman dalam bidang pengucapan awam, komunikasi dan kepimpinan.