KOTA KINABALU, SABAH – Hampir 10,000 bekas penyokong Parti Cinta Sabah (PCS) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) seluruh Sabah dijangka menyertai Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Bekas Naib Presiden PCS, Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing berkata, tindakan beliau termasuk bekas-ahli ahli majlis tertinggi serta beberapa lagi ahli berjawatan tinggi dalam UPKO dan Parti Warisan Sabah menjadi faktor pendorong.
“Selepas melangkah keluar dari PCS, rakan-rakan kita mahu terus berjuang bersama pasukan yang dapat membela nasib rakyat khususnya masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM)…
“Kami percaya bahawa PBRS adalah pilihan tepat kerana konsisten dalam perjuangan selama ini. Kami akan bergerak memperkasakan parti di semua kawasan.
“Hampir semua bekas ahli PCS di beberapa kawasan tertentu sudah memberikan sokongan dan ini akan memberikan PBRS suara lebih kuat dalam perjuangan,” katanya.
Beliau turut menempelak dakwaan mereka keluar PCS adalah disebabkan takut tidak mendapat jawatan selepas rombakan yang dijadualkan berlangsung.

“Bagaimana rombakan boleh dibuat sedangkan pemilihan baru selesai melainkan wujud satu perancangan yang telah pun daiatur tanpa berasaskan perlembagaan parti,” katanya.
Wilfred menggambarkan tuduhan berkenaan sebagai ketandusan alasan dan kurang rasional.
Sementara itu, Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup berkata, negeri Sabah masih jauh ketinggalan dari segi perkembangan ekonomi terutamanya dari segi infrastruktur, kesihatan dan pendidikan.
“PBRS mahu melakar pelan di mana kita dapat menarik lebih minat orang ramai terhadap perkembangan ekonomi…
“Kita sudah cukup dengan politik tidak ketentuan (tidak stabil) dan fokus itu perlu diberikan kepada rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai penubuhan parti baharu berasaskan masyarakat KDM oleh bekas Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony, Joseph berkata beliau tidak risau.
“Tindakan Peter tidak akan memecah-belahkan kekuatan perjuangan kami untuk menyatukan orang KDM…
“Tindakan beliau memecah belahkan Warisan tetapi bukan masyarakat KDM,” ujarnya.
Kedua-dua individu berkata demikian pada majlis penyerahan borang kemasukan lebih 80 ahli ke PBRS di Wisma Kinsabina, Penampang sebentar tadi.