KUNAK, SABAH – Seorang warga emas rentung dalam kebakaran dua blok rumah kongsi di Lorong 7, Kunak Jaya sini pada kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.
Beliau telah dikenal pasti Suwardi Allu berumur 64 tahun.
Pusat Gerakan Operasi Bomba berkata terdapat lapan (8) rumah terlibat yang terbakar 100 peratus.
“Sebuah blok dua tingkat berukuran 80×20 kaki persegi dan sebuah blok lagi berukuran 100 X 25 kaki persegi…
“Pasukan Bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke tiga blok rumah berhampiran.
“Kerja-kerja pemadaman dijalankan menggunakan dua pancutan sumber air dari tangki jentera dan air terbuka (kolam),” katanya.
Menurut sumber yang sama, mayat mangsa ditemui pada jam 2.25 petang.
“Kebakaran terkawal pada jam 1.07 petang dan tamat sepenuhnya pada jam 4.22 petang,” tambahnya.
Unit Anjing Pengesan, Pepper, juga digunakan bagi membantu operasi selain agensi Jabatan Air Kunak, pihak SESB, anggota Rela dan Polis.