JENTAYU, Yayasan Kebajikan Sabah Hulur Bantuan Banjir Bernilai RM550,000

JENTAYU, Yayasan Kebajikan Sabah Hulur Bantuan Banjir Bernilai RM550,000

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – JENTAYU Sustainables Berhad (JENTAYU), yang sebelumnya dikenali sebagai IPMUDA Berhad, dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) berjaya mengumpul dana sebanyak RM 550,000 di dalam Majlis Pengumpulan Dana bagi Mangsa Banjir bertempat di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu semalam.

Pihak JENTAYU telah menaja keseluruhan kos Majlis Pengumpulan Dana, manakala 100 peratus sumbangan yang diterima akan disalurkan langsung kepada Tabung Yayasan Kebajikan Sabah untuk tujuan bantuan banjir.

Tabung bantuan mangsa banjir ini yang memulakan kutipan dalam tempoh tiga hari bermula pada 8 Januari 2022 telah menarik ramai penyumbang yang ingin turut sama membantu mangsa banjir di Negeri Sabah.

Kutipan sebanyak RM550,000 ini akan disalurkan kepada lebih 2000 mangsa melalui Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar di bawah Pusat Pemindahan Sementara mengikut daerah.

Daerah yang terlibat adalah Kota Marudu, Paitan, Beluran, Telupid, Sandakan dan Pitas. Perancangan Sumbangan Dana Mangsa Banjir Kilat yang telah diputuskan adalah bantuan barang-barang keperluan dapur, keperluan persekolahan anak-anak terjejas akibat banjir dan juga keperluan lain yang diperlukan.

YKS merancang untuk membantu mangsa banjir kilat sebaik sahaja dana terkumpul bermula di Sandakan, Telupid, Paitan dan Beluran. Sejak 3 Januari 2022, YKS telah pun menyalurkan bantuan mangsa banjir di Kota Marudu dan Pitas.

YKS telah ditubuhkan pada Julai 2021 dan merupakan inisiatif daripada Ketua Menteri Sabah yang bertujuan untuk meningkatkan dan membangunkan tahap sosio ekonomi rakyat negeri Sabah ke arah masyarakat yang sejahtera dan maju jaya.

Puan Rugayah Ag. Besar selaku Pengarah Yayasan Kebajikan Sabah berkata YKS berasa amat bangga dengan usaha sama murni JENTAYU kerana sudi menjemput kami untuk turut sama menjayakan program majlis derma kilat bagi mangsa banjir.

“Perlaksanaan Majlis Pengumpulan Dana ini merupakan perubahan saat akhir di atas dasar keprihatinan oleh pihak Pengurusan Syarikat JENTAYU yang pada mulanya bercadang untuk mengadakan Majlis Perlancaran Pertukaran Nama Ipmuda Berhad kepada Jentayu Sustainables Berhad dan juga Majlis Pelancaran Projek Tenaga Hidro Elektrik Sungai Maligan-Padas…

“Majlis ini juga bertepatan dengan perubahan semula nama IPMUDA Berhad kepada Jentayu Sustainables Berhad selaras dengan misi dan visi syarikat – A Sustainable Future for All,” katanya.

Pengerusi Eksekutif JENTAYU yang juga merupakan Pemegang Amanah YKS, Datuk Hj Beroz Nikmal Mirdin menyeru lebih ramai badan korporat dan swasta untuk turut sama menyumbang dalam meringankan bebanan yang ditanggung oleh mangsa banjir

“Selaku anak Sabah, saya mengajak lebih ramai anak Sabah agar kembali berbakti dan menyumbang kepada usaha meningkatkan tahap sosio ekonomi rakyat negeri Sabah…

“Pihak JENTAYU mengambil maklum akan situasi Negara dalam menghadapi musibah banjir di kala pandemik dan telah mengambil keputusan untuk menggantikan majlis pelancaran projek kami kepada majlis pengumpulan dana dengan harapan untuk bersama-sama meringankan beban mangsa banjir di Negeri Sabah.

“Selanjutnya sebagai tanda komitmen kepada pembangunan Negeri Sabah, ibu pejabat JENTAYU akan berpindah ke Kota Kinabalu,” tambah Beroz.

Majlis yang bermula pada jam 9.00 malam dipengacarakan oleh Daphne Iking dan turut diserikan dengan persembahan barisan artis yang terkemuka, seperti Nikki Palikat, Dato’ Hattan dan Dato’ Awie.