Sabah Perlukan GRS Untuk Kestabilan Politik – Fairuz

Sabah Perlukan GRS Untuk Kestabilan Politik – Fairuz

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kesepakatan pemimpin-pemimpin dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah bukti bahawa pemimpin tempatan Sabah amat mengutamakan janji dan tidak memandang remeh amanat yang diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Ketua ARMADA BERSATU Negeri Sabah, Fairuz Renddan berkata GRS merupakan sebuah gabungan kerajaan terdiri daripada komponen-komponen parti yang bergabung dan membentuk kerajaan dalam menjalankan usaha membawa kestabilan kepada politik tempatan.

“Perkara ini jelas dan saya menyokong apa yang diperkatakan oleh Ketua Penerangan BERSATU Negeri Sabah, Khairul Firdaus Akbar baru-baru ini, tentang perlunya GRS didaftarkan dan bergerak sebagai sebuah entiti politik…

“BERSATU Sabah amat yakin dan percaya bahawa masa depan rakyat di Sabah termasuklah ekonomi dan pembangunan negeri mampu dibentuk dan dijayakan dengan kepimpinan sebuah kerajaan yang utuh dan bersepadu seperti GRS,” katanya.

Fairuz yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, dalam satu kenyataan media hari ini berkata rakyat telah memberikan mandat kepada GRS dan ia adalah wajar untuk terus bergerak dan bekerja untuk merealisasikan apa yang diharapkan.

“Pastinya segala usaha akan lebih mudah dan perhubungan yang terjalin antara semua parti kompenen GRS akan lebih erat jika ianya dapat didaftarkan sebagai sebuah entiti parti yang melambangkan identiti kita sebagai anak-anak Sabah…

“Hal ini sekaligus akan semakin menguatkan kita semua dan tidak akan digugat sama sekali oleh pihak luar biarpun keadaan politik semasa di tempat lain berada dalam kucar-kacir,” tambah Fairuz.

Beliau turut mengajak semua rakyat dan pemimpin untuk terus berganding bahu dan bekerjasama dalam membawa perubahan ke arah merealisasikan impian Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kita semua, tidak kira wakil rakyat ataupun rakyat itu sendiri harus bekerja dan memainkan peranan masing-masing untuk membawa kepada kemajuan dan bangkit semula,” ujarnya.