KOTA KINABALU, SABAH – Dua individu termasuk seorang kontraktor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan penyata akaun bank syarikat yang mengandungi butiran palsu.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki dan wanita yang masing-masing berusia 41 tahun dan 37 tahun tersebut ditahan kira-kira pukul 10 pagi tadi di Pejabat SPRM Sabah ketika hadir memberi keterangan.
Difahamkan, kedua-dua suspek telah mengemukakan penyata akaun bank syarikat yang mengandungi butiran palsu bagi memasuki tender membekal dan menghantar bahan-bahan makanan kepada sebuah hospital dearah di Sabah untuk tempoh dua tahun pada 2017 dengan nilai kontrak yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1.2 juta.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Katanya lagi, kedua-dua suspek akan dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas selesai memberi keterangan.
Harian Metro melaporkan seramai 46 individu ditahan setakat pada Ogos 202 dan 38 daripada mereka dituduh di mahkamah.
“Daripada jumlah itu, 13 individu mengaku salah manakala 25 lagi memohon untuk dibicarakan,” kata Karunanithy.





