Sekolah Yang Didapati Kluster Baharu Akan Ditutup Serta Merta – SKN

Sekolah Yang Didapati Kluster Baharu Akan Ditutup Serta Merta – SKN

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Sekolah yang didapati kluster baharu melibatkan kalangan pelajar akan ditutup bagi membendung penularan COVID-19 di institusi pendidikan negeri Sabah.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong berkata demikian dalam surat rasmi kepada Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Dr. Mistrine Radin semalam.

Safar berkata Kerajaan Negeri mengambil maklum bahawa sejak awal tahun, sejumlah enam (6) Kluster Institusi Pendidikan aktif di enam (6) lokaliti yang berada di bawah pemantauan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah melibatkan fasiliti pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Ini telah mencetuskan kebimbangan dan menjadi agenda perbincangan ketika Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah pada 26 Januari (Rabu) yang prihatin dengan laporan trend jangkitan COVID-19 yang berlaku di beberapa buah sekolah di negeri ini…

“Justeru, tindakan proaktif dan bersifat preventif perlu dilaksanakan dengan segera dengan lebih luas,” katanya.

Selaras itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah yang bermesyuarat pada hari yang sama memutuskan supaya pelaksanaan tindakan berikut dibuat bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19.

“Tempoh pelaksanaan penutupan adalah selama dua (2) hingga tiga (3) minggu tertakluk kepada pengesahan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah…

“Sesi pembelajaran bagi semua pelajar sekolah yang akan menghadapi peperiksaan utama boleh diteruskan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di kalangan pelajar termasuk guru dan kakitangan insitusi pendidikan berkenaan,” jelasnya.

Salinan surat berkenaan turut ditujukan kepada Pesuruhjaya Polis Sabah, Pengarah Keselamatan Negeri Majlis Keselamatan Negara (Sabah) dan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah.