Sabah Jadi Pentas Sukan Serantau, BIMP-EAGA Friendship Games 2026 Tawar 98 Emas...

Sabah Jadi Pentas Sukan Serantau, BIMP-EAGA Friendship Games 2026 Tawar 98 Emas November Ini – Nizam

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah bakal menjadi pentas sukan serantau apabila dipilih sebagai tuan rumah BIMP-EAGA Friendship Games 2026 yang akan berlangsung dari 23 hingga 27 November ini, dengan sebanyak 98 pingat emas dipertandingkan.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, temasya dwitahunan itu bukan sekadar pertandingan sukan, sebaliknya menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan serta kerjasama antara negara anggota BIMP-EAGA iaitu Brunei, Indonesia, Filipina dan Malaysia.

“Dengan penyertaan lebih 3,000 atlet dan pegawai, temasya ini mencerminkan semangat perpaduan dan kebersamaan yang kita junjung tinggi.

“Sukan ini juga menjadi medan untuk mencungkil bakat baharu serta memberi pendedahan kepada atlet muda Sabah dalam menilai prestasi dan meningkatkan keupayaan mereka,” katanya selepas Mesyuarat 12th BIMP-EAGA Friendship Games 2026, di sini, hari ini.

Menurutnya, temasya itu melibatkan atlet berusia bawah 21 tahun yang akan bersaing dalam sembilan acara sukan termasuk badminton, sepak takraw, pencak silat, e-sukan, karate, lawn bowls, renang dan olahraga.

Terdahulu, Sabah menerima penyerahan pengerusi Majlis Sukan BIMP-EAGA daripada Indonesia, dengan Setiausaha Tetap kementerian berkenaan, Datuk Mansur Asun dilantik sebagai pengerusi baharu.

Nizam berkata, penganjuran temasya itu turut berfungsi sebagai platform pembangunan karakter atlet muda melalui pembentukan disiplin, ketahanan mental dan semangat kesukanan.

“Selain itu, sukan ini turut merapatkan hubungan antara negara-negara BIMP-EAGA dan mengukuhkan kerjasama serantau yang memberi manfaat kepada pembangunan sosial serta ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa semua fasiliti dan venue pertandingan di sekitar Kota Kinabalu akan berada dalam keadaan terbaik dan bersedia sepenuhnya untuk penganjuran temasya tersebut.

Kontinjen Sabah dijangka diwakili kira-kira 193 atlet, manakala keseluruhan penyertaan termasuk pegawai dianggarkan melebihi 3,000 orang.

Pertandingan akan berlangsung di beberapa lokasi utama sekitar ibu negeri termasuk Kompleks Sukan Likas dan Pusat Akuatik Likas, selain kemudahan sukan lain.

Beliau turut mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk menyaksikan acara yang dipertandingkan serta bersama-sama memeriahkan temasya sukan serantau itu.