TAWAU, SABAH – Tindakan licik pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba bersembunyi dalam garaj kereta di Kampung Kurnia Jaya, di sini, berakhir dengan sia-sia apabila berjaya dikesan oleh Tim Quick Reaction Force (QRF) Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2).
Menurut Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad, kejayaan operasi 4.50 pagi kelmarin adalah hasil pengesanan awal menerusi Radar CSS (Coastal Surveillance Station) yang mengesan tiga (3) buah bot memasuki perairan Malaysia.
Katanya, Tim QRF yang sedang melaksanakan rondaan dalam Op BENTENG BERSAMA diaturgerakan ke lokasi kejadian untuk melakukan pemeriksaan dan berjaya menahan lima (5) suspek warganegara Indonesia.
“Sebuah bot yang membawa kesemua PATI tersebut dipercayai telah berpatah balik ke sempadan perairan negara…
selepas berjaya menurunkan kesemua PATI ke daratan manakala dua buah bot lagi gagal dikesan dan dipercayai berpatah balik menuju keluar sempadan perairan Malaysia.
“Tim QRF telah bertindak mengepung dan menahan kesemua PATI yang sedang bersembunyi di dalam garaj kereta,” katanya dalam kenyataan.
Mereka terdiri daripada tiga (3) lelaki dewasa berusia 24 hingga 27 tahun, seorang wanita dewasa berusia 26 tahun dan seorang bayi perempuan berusia setahun yang ditemui bersama barang persendirian.
Abdul Karim berkata suspek dimaklumkan untuk menaiki bot yang telah diaturkan oleh agen dari Pulau Sebatik menuju ke Tawau, dan seterusnya akan diambil oleh agen dari Tawau untuk terus dihantar ke destinasi yang telah ditetapkan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 jika sabit kesalahan iaitu tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.
“Semua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada jam 8 pagi bagi tujuan soal siasat, laporan polis dan proses saringan COVID-19 serta tindakan selanjutnya,” ujarnya.





