KUALA LUMPUR – Angin kencang dijangka akan melanda beberapa tempat di pantai timur Sabah dan Semenanjung sehingga 6 Februari ini, lapor Harian Metro.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan hari ini berkata, keadaan cuaca tersebut akan menyebabkan kebanyakkan tempat hujan pada sebelah pagi.
“Susulan itu kawasan timur Sabah dan Pantai Timur di Semenanjung mengalami cuaca lembap yang membawa kepada hujan pada sebelah pagi.
“Sementara itu, kawasan barat Sabah, barat dan tengah Sarawak serta negeri Pantai Barat di Semenanjung khususnya Kedah, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan pedalaman Pahang dijangka mengalami ribut petir.
“Kawasan ini juga turut diramal berlaku hujan pada waktu petang hingga awal malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, angin kencang dan laut bergelora juga dijangka berlaku di perairan Laut China Selatan antara Selasa hingga Ahad depan (2 hingga 6 Februari).
Sementara itu, cuaca pada sambutan Tahun Baharu Cina pada Selasa dan Rabu diramalkan berlaku hujan dan ribut petir pada sebelah pagi di satu dua tempat di Sabah dan Sarawak.
Ia meliputi kawasan di daerah Kudat, Sandakan dan Tawau, serta di Sarawak membabitkan, Kuching, Samarahan, Serian, Sarikei dan Mukah.
Keadaan cuaca pada petang pula, hujan dan ribut petir dijangkakan berlaku di Kedah, Pulau Pinang, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak (Mukah, Bintulu, Sibu, Kapit, Miri dan Limbang), Sabah (pantai barat, Pedalaman dan Sandakan) dan Labuan.
Pada sebelah malam, hujan dan ribut petir dijangka melanda beberapa kawasan di Perak, Selangor, Sarawak (Bintulu, Sibu, Kapit, Miri dan Limbang) dan Sabah (pantai barat, pedalaman dan Kudat) serta Labuan.
Orang ramai dinasihatkan sentiasa merujuk laman sesawang www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.





