Sabah Catat Dua Kali Ganda Peningkatan COVID-19 Hari Ini

Sabah Catat Dua Kali Ganda Peningkatan COVID-19 Hari Ini

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah mencatat peningkatan hampir dua kali ganda dalam kes baharu hari ini iaitu 909 kes dengan empat (4) kluster baharu diisytihar membabitkan empat (4) sekolah menengah.

Menurut jurucakap perkembangan COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, kes hari ini meningkat sebanyak 433 kes berbanding semalam.

“Kali terakhir Sabah mencatatkan kes di atas paras 900 kes ialah pada 30 September tahun lalu iaitu kira-kira empat bulan lepas…

“Terdapat tiga daerah (3) mencatatkan kes tiga angka hari ini. Daerah Sandakan mencatatkan angka tertinggi dengan 185 kes (+92), diikuti oleh Penampang dengan 115 kes (+44) dan Kota Kinabalu 101 kes (+24).

“Jangkitan yang berpunca daripada Kes Bergejala di ketiga-tiga daerah ini juga tinggi iaitu Sandakan dengan 70 kes, Penampang, 38 kes dan Kota Kinabalu 56 kes,” katanya.

Sebanyak 89 kes datang daripada sembilan (9) kluster aktif termasuk empat (4) kluster baharu hari ini yang bertempat di Ranau, Sandakan, Kota Marudu.

“Kluster Sungai Batang Batu Sepuluh di Sandakan melibatkan pelajar perempuan berumur 16 tahun dari sekolah MRSM Tun Mohammad Fuad Stephens…

“Indeks kes ini telah dikesan melalui saringan bergejala pada 25 Januari lalu setelah mula menunjukkan gejala demam.

“Saringan terhadap kontak rapat mendapati 49 lagi kes positif terdiri daripada kalangan pelajar, guru dan kontak keluarga,” kata Masidi dalam rumusan harian kes.

Kluster Jalan Tandek di Kota Marudu melibatkan pelajar asrama lelaki SMK Tandek 1.

Masidi berkata indeks kes itu mula bergejala pada 15 Januari lalu dan didapati positif setelah menjalankan saringan dua hari berikutnya.

“Saringan terhadap rakan seasrama dan sekelas mendapati seramai 34 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 35 orang,” jelasnya.

Tambahnya, Kluster Jalan Taman Beringin juga di daerah Kota Marudu melibatkan SMK Bandau.

“Indeks kes merupakan seorang pelajar wanita 17 tahun yang menjalani saringan COVID-19 pada 19 Januari sebelum menjalankan pemeriksaan di Hospital Queen Elizabeth 2…

“Saringan keatas kontak rapat mendapati 24 orang lagi didapati positif. Mereka terdiri terdiri daripada pelajar asrama, pelajar harian dan kakitangan sekolah,” katanya.

Sementara itu, Kluster Jalan Pendidikan Ranau pula adalah kluster yang melibatkan SMK Mat Salleh, Ranau.

“Indeks kes adalah seorang lelaki 19 tahun dan merupakan seorang pelajar Tingkatan 6 di sekolah tersebut.

“Indeks kes mula bergejala pada 29 Januari yang telah melakukan ujian saringan kendiri dan didapati positif.

“Sekolah dimaklumkan pada hari yang sama dan pelajar itu terus dikuarantin. Saringan dibuat dua hari selepas itu yang mengesahkan pelajar itu positif.

“Saringan terhadap rakan sebilik, seasrama serta rakan sekelas mendapati 24 orang lagi positif,” kata Masidi.

Bagaimanapun, beliau berkata kesemua pesakit dari empat (4) kluster baharu ini dikategorikan dalam Kategori 1 dan 2 (hanya bergejala ringan) dan telah diasingkan dan diberikan rawatan selanjutnya.

Katanya 900 daripada 909 pesakit hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2 sahaja.

“Terdapat lima (5) kes dalam Kategori 3, tiga (3) kes dalam Kategori 4 dan satu (1) kes dalam Kategori 5,” ujarnya.

Berikut merupakan pecahan kes positif COVID-19 negeri Sabah mengikut daerah hari ini (04 Feb 2022) dibandingkan dengan angka kes kelmarin (dalam kurungan):

Sandakan – 185 (93)
Penampang – 115 (71)
Kota Kinabalu – 101 (77)
Tuaran – 86 (44)
Lahad Datu – 57 (17)
Beaufort – 57 (18)
Kota Marudu – 53 (16)
Papar – 36 (9)
Tawau – 31 (32)
Ranau – 30 (22)
Kuala Penyu – 24 (1)
Putatan – 22 (13)
Semporna – 16 (18)
Beluran – 16 (1)
Kinabatangan – 16 (7)
Kudat – 11 (4)
Kota Belud – 11 (11)
Tambunan – 10 (1)
Keningau – 10 (8)
Kunak – 9 (6)
Tenom – 6 (3)
Sipitang – 5 (0)
Telupid – 2 (1)
Nabawan – 0 (0)
Pitas – 0 (2)
Tongod – 0 (0)
Kalabakan – 0 (1)