Kesukarkan Memohon Secara Sah Antara Punca Kecurian Elektrik Di Sandakan

Kesukarkan Memohon Secara Sah Antara Punca Kecurian Elektrik Di Sandakan

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Anggaran kerugian hampir RM 2 juta kepada kecurian elektrik di Sandakan berlaku kerana birokrasi pihak Sabah Electricity Sdn. Bhd (SESB) itu sendiri.

Ketua Penerangan BERSATU Negeri Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, banyak perkampungan yang di anggap diduduki oleh Pendatang Tanpa Izin (PTI) oleh pihak SESB adalah faktor utama yang menyebabkan kecurian elektrik berlaku.

“Apabila anggapan ini berlaku pihak SESB langsung tidak berminat untuk membekalkan bekalan elektrik ke perkampungan berkenaan…

“Pihak SESB sendiri tidak kenampakkan pro aktif dalam menyelesaikan masalah elektrik di kebanyakkan perkampungan terutamanya di Parlimen Batu Sapi, walaupun masalah ini sudah berlanjutan hampir 30 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul yang juga Ketua Bahagian BERSATU Batu Sapi berkata penduduk-penduduk kampung tidak boleh dibiar bergelapan serta rutin harian mereka terganggu disebabkan bekalan elektrik yang tidak pernah disalur secara bermeter di kampung-kampung sekitar Batu Sapi.

“Difahamkan juga, ramai penduduk yang cuba untuk memohon secara sah, namun tidak dilayan dan pelbagai alasan diberikan oleh SESB. Ini adalah hasil daripada keluhan penduduk di Kampung Cenderamata itu sendiri.

“Hasil keluhan penduduk-penduduk kampung di Batu Sapi dan juga kos pemasangan yang tinggi menyumbang kepada kes kecurian elektrik. Kebanyakkan penduduk kampung di Batu Sapi tidak mampu untuk menanggung kos perbelanjaan seumpama itu,” katanya.

Walaubagaimanapun, beliau tidak menafikan ada segelintir penduduk yang mengambil kesempatan.

“Namun majoriti penduduk tidak mempunyai pilihan yang lain demi meneruskan kehidupan seharian…

“Data ataupun bancian yang dilakukan kononnya kebanyakkan penduduk kampung yang tinggal di Batu Sapi adalah PTI sama sekali tidak berasas.

“Saya memohon supaya pihak SESB dapat bersama-sama dengan pihak kampung untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik,” tambahnya.

Beliau menegaskan isu kemanusiaan perlu diberikan perhatian yang sewajarnya dan ini adalah soal kehidupan masyarakat kampung.