SOP Ketat Perlu Apabila Sempadan Negara Dibuka – Bung

SOP Ketat Perlu Apabila Sempadan Negara Dibuka – Bung

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata bahawa prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan terancang perlu dilakukan apabila sempadan negara dibuka.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, pembukaan sempadan negara dengan SOP yang ketat dapat memastikan aktiviti ekonomi negara terus kekal berdaya saing terutama sektor pelancongan.

Tambahnya, bagi merancakkan kembali sektor ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19, kerajaan harus mengikuti strategi dan pendekatan diambil negara lain yang melaksanakan pembukan sempadan secara berfasa dan terancang.

“Kerajaan perlu mencontohi strategi dan pendekatan diambil New Zealand, Australia, Indonesia dan Filipina yang melaksanakan pembukaan sempadan secara berfasa bagi merancakkan kembali sektor ekonomi

“Bagaimanapun, sebarang bentuk pelaksanaan ke arah pembukaan sempadan mesti dibuat secara teliti untuk memastikan risiko kesihatan awam terkawal.

“Contohnya, protokol dan garis panduan mengenai peraturan kuarantin perlu dikuatkuasakan bagi mengekang jangkitan terutama varian-varian baharu seperti Omicron,” kata Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan.

Ujarnya, perkara itu sudah dibangkitkan dalam ucapan perbahasan di Parlimen pada Isnin lalu supaya kerajaan khususnya kementerian terlibat membuat kajian demi kebaikan semua pihak dalam usaha memulihkan ekonomi serta rakyat yang terjejas.

Katanya, Malaysia dan negara lain di rantau ini perlu menyegerakan pembukaan sempadan masing-masing untuk membantu pemulihan ekonomi terutama dalam sektor perdagangan dan pelancongan tanpa meningkatkan risiko kesihatan rakyat.

“Langkah ini penting bagi menyokong usaha Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang giat dijalankan,” katanya.